
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Samiun Salleh berkata langkah itu sejajar dengan usaha MBKT menangani masalah ”limpahan” warga asing yang dilihat mula mengambil alih peniaga tempatan di premis perniagaan terutama di kawasan Terminal Bas Ekspres Kuala Terengganu.
“Perniagaan berbentuk ‘karavan’, lori atau trak, roda tiga, malah penjaja kaki lima pun… ini yang kita cuba lesenkan supaya boleh mengawal perniagaannya… jika langgar peraturan lesen kita boleh ambil tindakan.
“Sebab kita tak mahu ada warga asing turut berniaga di trak makanan ini. Setakat ini ada 35 trak yang mendaftarkan perniagaan mereka (bawah persatuan trak makanan) dan belum ada lagi warga asing kita lihat terlibat dalam perniagaan ini,” katanya kepada pemberita hari ini.
Katanya, perlesenan mungkin dilakukan bawah Undang-Undang Kecil Perlesenan Penjaja.
Samiun mengulas isu kebanjiran peniaga asing di bandar raya ini yang dilihat bebas menjalankan perniagaan meskipun MBKT sebelum ini menyatakan mereka tidak pernah mengeluarkan sebarang permit terhadap peniaga warga asing bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan di sini.
Sebelum ini, peniaga tempatan di bandar raya ini merungut kerana kebanjiran warga asing terutama Bangladesh dan Indonesia menjalankan pelbagai jenis perniagaan di bandar raya ini melibatkan premis MBKT dan persendirian.
Samiun berkata, MBKT sukar menangani isu penyalahgunaan premis perniagaan kerana kebanyakan premis memiliki lesen perniagaan yang sah dan tiada tindakan dapat dilakukan terhadap warga asing menjalankan perniagaan di premis tersebut.
“Bila kita buat siasatan, kita tak boleh nak ambil tindakan sebab lesen pemilik sah dan tidak boleh dipindah milik kepada orang lain… mungkin kedai itu pemilik menyewakannya kepada warga asing (untuk mereka berniaga)… ini mungkin premis persendirian.
“Jika premis MBKT, kita akan ambil tindakan… tarik balik lesen dan bagi pada mereka yang betul-betul mahu berniaga sebab kita bagi mereka berniaga untuk tunaikan tanggungjawab sosial membantu rakyat, tapi mereka serah pula pada pihak lain (warga asing) dan ini tidak adil kepada orang betul-betul nak berniaga,” katanya.