
Quintin Rozario, peguam cara kelahiran Malaysia berpejabat di Brisbane, Australia, berkata sepanjang beberapa bulan lepas, banyak pengulas dan pengkritik menyuarakan keprihatinan mereka berhubung Akta Pelucuthakan Sivil digunakan DoJ bagi membenarkan tindakan merampas kapal mewah itu, dikatakan milik ahli perniagaan Malaysia Low Taek Jho atau Jho Low.
Beliau memberitahu Bernama, walaupun perlembagaan Amerika berlandaskan prinsip kesamarataan dan keadilan, diguna pakai dalam melaksanakan dan menguatkuasakan semua undang-undangnya, tetapi Akta Pelucuthakan “kini diguna pakai terang-terangan sebagai alat menindas dan melancarkan perang saraf ekonomi oleh satu demi satu pentadbiran Amerika bagi mencapai kehendak mereka terhadap negara lebih kecil”.
Rozario juga menyokong pendapat Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak iaitu DoJ tidak menunjukkan sebarang “bukti nyata” Jho Low pemilik kapal mewah dirampas di Bali pada 28 Februari itu sebagai sebahagian daripada penyiasatan DoJ, yang bermula 2016, terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“DoJ belum membuktikan satu pun dakwaannya di mahkamah keadilan, walaupun hampir 2 tahun berlalu sidang akhbar sensasi diadakan pada Julai 2016,” kata Salleh.
“Hakikatnya, DoJ mahu merampas harta milik individu tertentu dikatakan menipu 1MDB, tetapi bukan harta 1MDB sendiri. Alasan itu sendiri meragukan sekiranya seseorang itu mengambil kira 1MDB bukanlah pihak membuat aduan terhadap individu berkenaan dan tidak pernah langsung mengemukakan sebarang aduan.
“1MDB satu-satunya pihak mempunyai kedudukan di sisi undang-undang untuk mengemukakan aduan dan mengambil tindakan mendapatkan kembali asetnya dalam keadaan seperti itu.”
Peguam itu berkata walaupun mengikut akta berkenaan, memadai dengan mengesyaki seseorang defendan melakukan jenayah dan mengaitkan antara harta dirampas itu dengan perlakuan kesalahan jenayah bagi mewajarkan tindakan pelucuthakan diambil, tetapi hanya mahkamah keadilan berkuasa memutuskan sama ada sesuatu jenayah telah dilakukan.
Rozario menyifatkan Akta Pelucuthakan Sivil sebagai “undang-undang tidak baik” dan berkata negara bertamadun tidak patut membenarkan ia dikuatkuasakan atau memberi kerjasama dengan melaksanakan peruntukan undang-undang itu di wilayah mereka.
Sejurus selepas kapal mewah itu dirampas, Jho Low segera mengeluarkan kenyataan menyelar DoJ kerana melakukan “global outreach” serta mendakwa beliau menjadi mangsa dalam penganiayaan politik.