Dikehendaki di India, Zakir Naik sedia bina semula di Malaysia

Dikehendaki di India, Zakir Naik sedia bina semula di Malaysia

Kondominium yang berdepan tasik di Putrajaya menjadi tempat tinggal baru Dr Zakir Naik, pendakwah yang disiasat dan dikehendaki di India.

zakir-fmt-1
Zakir Naik diserbu peminat selepas solat Jumaat di Masjid Putrajaya.
PUTRAJAYA:
Solat Jumaat di Masjid Putrajaya baru berakhir. Sewaktu orang ramai bergegas keluar bagi mengelak kesesakan lalu lintas di luar, sekumpulan jemaah mula berkumpul di baris belakang dewan solat
utama masjid itu.

Kekecohan tanpa dirancang itu seolah-olah menjadi sejenis ritual pada setiap penghujung sembahyang Jumaat di situ. Fokusnya ialah Dr Zakir Naik, pendakwah Islam paling kontroversi di India.

Zakir “dikehendaki” di India dan juga Malaysia, tetapi dengan cara yang berbeza.

Pihak berkuasa India ingin menyoal beliau tentang dakwaan ekstremisme dan pengubahan wang, dakwaan yang dinafikan oleh Zakir.

Di Malaysia pula, beliau temui ketenteraman bukan sahaja kerana sokongan pemimpin kerajaan dan pimpinan Islam tempatan, tetapi juga daripada status selebriti yang dinikmatinya dalam kalangan jutaan peminat di seluruh dunia.

Ia membantu penerimaan beliau dalam kalangan masyarakat Islam tempatan khasnya.

Kumpulan kecil peminat Zakir mengiringinya ke luar masjid, diikuti 2 lelaki tempatan. Mereka dipercayai berperanan sebagai pengawal peribadi.

Di luar masjid, Zakir terserempak dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, timbalan perdana menteri. Sebagai menteri yang mengetuai kementerian yang bertanggungjawab ke atas Jabatan Imigresen, boleh dikatakan masa depan Zakir bergantung kepada Zahid.

zakir-fmt-2
Zakir Naik, bersama Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersalaman di luar Masjid Putrajaya bulan lepas.

Bila-bila masa, Zahid boleh mengusir Zakir dengan “hanya menekan satu butang”, kata seorang sumber yang arif dengan aktiviti pendakwah itu, kepada FMT.

Kedua-dua mereka saling berpelukan seperti rakan lama, bertemu pipi.

“Tahniah,” kata Zahid kepada Zakir, sebelum mereka berpisah haluan.

Ucapan tahniah Zahid kena masanya. Seminggu sebelum itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman Hindraf. Kumpulan pendesak Hindu itu membantah tindakan kerajaan melindungi seorang “pelarian” seperti
Zakir dengan memberinya status pemastautin tetap.

Selama lebih 2 dekad, Zakir menyampaikan ceramah tentang perbandingan agama, topik yang mendapat sambutan besar di seluruh dunia, tetapi tidak disenangi oleh kelompok penganut Hindu dan Kristian.

Kontroversi Zakir Naik tidak terhenti di situ.

Berikutan serangan pengganas di Dhaka, Bangladesh, pada 2016, timbul dakwaan beliau mempengaruhi salah seorang penyerang terlibat.

Penyerang tersebut, Rohan Imtiaz, 22, dilaporkan mengongsi klip video ceramah lama Zakir yang memuji Osama Ben Laden, warga Saudi yang dikaitkan dengan serangan 9/11 di Amerika Syarikat.

“Jika dia (Osama) mengancam AS, negara pengganas paling besar, maka saya bersamanya. Setiap orang Islam wajar jadi pengganas. Hakikatnya dia menyerang pengganas, jadi dia menuruti Islam,” kata Zakir dalam video yang dikongsi di Facebook milik pemuda itu.

Sejak beberapa dekad, kegiatan dakwah Zakir dijalankan di bawah Yayasan Penyelidikan Islam (IRF), sebuah pusat dengan dana yang besar, yang ditubuhkannya di Mumbai.

Persekitaran mesra

Di Tamara Residence, sebuah kondominium kelas menengah tidak jauh dari Pejabat Perdana Menteri, tiada sambutan hangat untuk Zakir, yang baru pulang selepas hadir solat Jumaat.

zakir-fmt-4
Tamara Residence, Putrajaya, menjadi rumah Zakir Naik sejak beliau mengelak diri daripada penyiasat India.

Ketidakpedulian itu, dari satu segi, memberi ruang kepada beliau berehat dan memulihkan tenaga, walaupun ada kemungkinan beliau dipantau ketat oleh polis India.

Sama seperti kejiranan lain di Putrajaya, sebilangan besar penduduk di situ merupakan kakitangan kerajaan, walaupun terdapat juga ramai ekspatriat dari Timur Tengah dan benua kecil India.

Di sinilah Zakir mengadakan pertemuan dengan pembantu beliau, termasuk seorang ahli peniagaan yang baru tiba dari Mumbai.

Rancangan masa depan beliau tidak diketahui, tetapi ia tidaklah sukar diagak.

Selepas halangan daripada pengkritiknya diketepikan oleh keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini, kini adalah masa paling sesuai untuk Zakir membina semula IRF pimpinan beliau itu, yang sebelum ini ditutup oleh pihak berkuasa India atas tuduhan pengubahan wang dan menyokong ekstremisme.

Sumber yang arif dengan kegiatan pendakwah itu memberitahu FMT, usaha pembinaan “empayar dakwah” beliau, terutamanya saluran televisyen Peace TV, sedang diatur.

Zakir banyak menerima tetamu yang sealiran dengannya di Tamara Residence, termasuk para pendakwah tempatan yang berkongsi pandangan beliau dalam menyebarkan versi Islam yang lebih “ketat”, menyamai versi yang didokong oleh segelintir kerajaan Teluk, termasuk Arab Saudi.

Zakir mempunyai ramai peminat dari seluruh dunia. Setiap hari, laman Facebook beliau memuat naik grafik menarik mengandungi petikan Al-Quran dan ceramahnya, dikongsi dengan lebih 17 juta pengikut.

Di negara asalnya sendiri, Zakir berjaya menarik ramai orang ke program ceramah meganya, yang terkenal dengan kemahirannya memetik ayat daripada kitab Injil dan Veda.

Akan tetapi, pendekatan Islam Salafinya dikritik oleh ramai ulama Islam di India, di mana Islam tersebar luas di bawah pengaruh budaya dan amalan agama setempat, termasuk di bawah pengaruh kelompok Sufi yang dianggap sesat oleh golongan Salafi.

Wahiduddin-Khan
Wahiduddin Khan.

Antara pengkritik Zakir ialah pengarang terkenal, Wahiduddin Khan, yang menganggap populariti Zakir sebagai petanda kemerosotan dunia Islam yang satu masa dulu menguasai empayar yang luas selama beberapa kurun.

“Gelombang Islamofobia yang melanda selepas persitiwa 9/11 dan penaklukan Iraq serta Afghanistan hanya menambah luka umat Islam,” kata Wahiduddin, yang lebih dikenali sebagai “Maulana”, seperti dipetik Times of India.

“Dalam suasana sedemikian, pendebat seperti Zakir Naik, yang fasih berbahasa Inggeris, menghadapi para pendebat dari agama lain lalu mengalahkan mereka. Umat Islam pun mudah berasa bangga dengannya,” kata beliau lagi.

Zakir yang dianugerahi King Faisal Award, anugerah tertinggi Arab Saudi, 3 tahun lalu, boleh saja menjadikan negara kaya minyak itu sebagai pengkalannya. Namun, beliau memilih Malaysia.

“Beliau mendapati pihak berkuasa Malaysia lebih lunak, sementara negara ini lebih kondusif kepada dakwahnya,” kata sumber yang rapat dengan kegiatan Zakir.

Bina semula empayar

Barangkali Zakir membuat keputusan yang tepat, paling tidak dari segi perniagaan. Seorang tokoh dengan jutaan peminat dari seluruh dunia tentu menjadi aset kepada ahli politik yang cenderung menggunakan sisi agama dalam politik masing-masing.

Tahun lepas, pertubuhan Perkasa menganugerahkan Zakir dengan gelaran “pahlawan Melayu”. Selain itu, Zakir juga diminati pemimpin kerajaan dan pembangkang.

Seorang penyokong kuatnya ialah Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin, yang kerap terpaksa mempertahankan dirinya daripada tuduhan menyebarkan ajaran Wahhabi, gelaran lain bagi Salafisme.

Di Surau As-Syifa, yang menjadi tempat tumpuan beribadat penduduk Tamara, kelibat Zakir jarang kelihatan.

Surau berkenaan menjemput ramai penceramah luar untuk aktiviti agamanya, tapi Zakir bukan salah seorang daripada mereka, walaupun rancangan untuk itu ada.

surau-shifa
Surau As-Syifa, di mana penduduk Tamara Residence berkumpul untuk solat.

“Penduduk di sini berasa selesa dengan kehadiran beliau,” kata seorang ahli jawatankuasa penduduk ditemui di surau tersebut.

Kini, Zakir nampaknya sibuk dengan rancangan lain.

Dengan bantuan beberapa “murid” beliau, Zakir berusaha membina semula saluran Peace TV di Malaysia, dengan premis pejabat di pusat pentadbiran negara itu.

Zakir tidak menyembunyikan rancangannya itu. Pada 2016, beliau memberitahu akhbar Utusan Malaysia tentang rancangan peluasan saluran Peace TV ke rantau ini, termasuk untuk menerbitkan siaran dalam bahasa Melayu dan Mandarin.

“Insya Allah, dalam 12 ke 45 hari, Malaysia akan mempunyai seorang pendakwah seperti saya”, kata beliau kepada Utusan.

Sama ada Zakir sendiri atau “klon” beliau bakal meneruskan kegiatan dakwahnya di Malaysia masih samar.

Namun, keputusannya memilih Malaysia sebagai pangkalannya, tampaknya tepat dan mula berhasil, baik kepada kehidupan peribadi beliau atau empayar perniagaan dakwahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.