Pesakit tibi, kusta meningkat tahun lepas

Pesakit tibi, kusta meningkat tahun lepas

Sebanyak 26,168 kes baharu dilaporkan tahun lepas, meningkat 8% berbanding 24,220 kes pada 2015.

Pesakit-tibi-kusta-meningkat-tahun-lepas-doktor-pesakit-hospital
Gambar Reuters.
KUANTAN:
Malaysia mencatatkan peningkatan kes tibi dan kusta pada tahun 2017, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Beliau berkata bagi kes tibi, 26,168 kes baharu dilaporkan tahun lepas, meningkat 8% berbanding 24,220 kes pada 2015.

Bagi kes kusta pula, 214 kes direkodkan pada tahun 2017 berbanding 206 kes pada tahun 2016 dengan 13 kes baharu melibatkan kanak-kanak di Kelantan, Pahang, Sabah dan Terengganu.

“Peningkatan kes (tibi) ekoran aktiviti pengesanan dan saringan kes yang dilakukan. Pada 2017, sejumlah 418,897 golongan berisiko tinggi tibi menjalani saringan X-ray dada dan sejumlah 3,631 kes baharu dikesan dan dirawat.

“Kadar kematian tibi pada 2015 adalah 5.5 setiap 100,000 penduduk meningkat kepada 6.8 setiap 100,000 penduduk pada tahun 2017,” katanya pada ucapan Sambutan Hari Tibi dan Kusta Sedunia peringkat Kebangsaan dengan tema “Ke Arah Malaysia Bebas Tibi dan Kusta: Kesan Awal dan Pastikan Sembuh” di Felda Bukit Goh hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Azman Abu Bakar dan turut hadir, Pengarah Kesihatan negeri Dr Sha’ari Ngadiman.

Berdasarkan statistik 2017, seramai 23,035 pesakit tibi adalah rakyat tempatan manakala bagi penyakit kusta, 4 negeri mencatatkan kes paling tinggi ialah Sabah dengan 72 kes, Selangor (34 kes), Johor (20 kes) dan Pahang (19 kes).

Berhubung kes baharu kusta melibatkan kanak-kanak seawal usia 3 hingga 14 tahun, Dr Subramaniam berkata ia menunjukkan masih terdapat jangkitan kusta baharu dalam komuniti selain 8 kes baharu pada 2017 dikesan dengan kecacatan Gred 2.

Dr Subramaniam juga memaklumkan, berdasarkan Pelan Strategik Kawalan Tibi Kebangsaan (2016-2020), negara menyasarkan penurunan sebanyak 25% kematian akibat tibi menjelang 2020, yang memerlukan perhatian semua pihak untuk menjayakannya.

“Pengesanan dan rawatan awal penyakit tibi dan kusta sangat penting bagi mengawal penularan penyakit ini dalam kalangan masyarakat. Pesakit yang memulakan rawatan perlu menghabiskan rawatan.

“Rawatan sekurang-kurangnya 6 bulan bagi penyakit tibi dan enam hingga 18 bulan bagi penyakit kusta. Pesakit terhenti rawatan boleh merebakkan semula kuman tibi dan pada tahun 2016, terdapat 1,226 kes pesakit tibi terhenti rawatan,” katanya.

Dr Subramaniam berkata penyakit tibi merebak melalui udara dan mereka dengan simptom batuk berpanjangan melebihi 2 minggu, demam, berpeluh pada waktu malam, kurang selera makan, susut berat badan dan batuk berdarah diseru menjalani pemeriksaan.

Penyakit kusta pula berpunca daripada kuman bakteria yang menyerang saraf, kulit, lapisan mukosa dan boleh menyebabkan kecacatan anggota kaki, tangan dan mata jika tidak dirawat.

“Sebarang tompok di kulit yang hilang atau kurang sentuhan rasa, tidak gatal, tidak berpeluh perlu disahkan doktor sebagai bukan kusta apatah lagi jika sudah lama dan tidak pulih dengan rawatan sebelumnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.