Johari: Rakyat belanja RM46 bilion di luar negara, bukti ekonomi baik

Johari: Rakyat belanja RM46 bilion di luar negara, bukti ekonomi baik

Menteri kewangan kedua itu berkata, perbelanjaan rakyat di luar negara meningkat RM5 bilion pada 2016 dan 2017 daripada RM41 bilion yang dibelanjakan pada 2015.

klia-passenger-luggage-travel
Gambar Reuters.
PETALING JAYA:
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani percaya kemampuan rakyat berbelanja di luar negara membuktikan ekonomi negara dalam keadaan baik.

Beliau berkata, perbelanjaan rakyat di luar negara meningkat setiap tahun hingga mencecah RM46 bilion pada 2016 dan 2017.

“Kita bising-bising, tapi tahu atau tidak, rakyat Malaysia keluar negara berbelanja jika dibandingkan pada 2015 cuma RM41 bilion, tetapi pada 2016 hingga 2017 meningkat kepada RM46 bilion.

“Saya fikir kalau ekonomi negara tidak bagus, orang pun tidak mampu pergi ke luar negara. Tetapi saya mengaku, dari persepsi juga sangat penting,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Johari (BN-Titiwangsa) berkata, trend perbelanjaan rakyat hari ini juga berubah kerana ramai memilih untuk membeli-belah atas talian.

“Kalau dulu kita tengok masyarakat kita ini, jarang orang beli online, sekarang ini orang beli online. Untuk pengetahuan, pada 2017 sebanyak 73 bilion barang keperluan yang selalu dibeli di kedai, sudah dibeli melalui online.

“Barangan online ini tidak direkod di kedai-kedai, tetapi dalam Jabatan Statistik ia akan direkod. Kalau digabungkan semua ini, ‘consumption’ kita masih positif.”

Khalid Abd Samad (Amanah-Shah Alam) berkata, kerajaan juga perlu mengakui ada rakyat yang berdepan kesukaran dan mengeluh akibat kenaikan kos sara hidup.

“Saya keliru sama ada masalah dihadapi rakyat itu adalah persepsi atau apa yang dikatakan oleh menteri ini adalah persepsi. Menteri cakap ekonomi bagus, tapi rakyat mengeluh.

“Ketika ini, bukan sekadar kedai runcit tutup, ‘hypermarket’ juga tutup. Ini bukannya persepsi. Saya harap menteri juga mengakuinya.”

Johari berkata, perniagaan ditutup bukan disebabkan masalah ekonomi semata-mata, sebaliknya ada banyak faktor lain yang mempengaruhinya.

“Bila cerita soal orang berniaga, dia tutup atau bukan tidak ada kena-mengena. Kita lihat asas perkembangan ekonomi, kalau syarikat yang mempunyai urus tadbir lemah juga antara faktor penyumbang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.