Pendakwah Kanada bayar RM30,000 kepada Zamihan menjelang bicara saman

Pendakwah Kanada bayar RM30,000 kepada Zamihan menjelang bicara saman

Abu Ameenah Bilal Philips menyaman penceramah kontoversi itu yang mendakwanya sebagai 'penyokong terorisme antarabangsa'.

ameen-bilal-zamihan-1
KUALA LUMPUR: Penceramah Islam warga Kanada, Abu Ameenah Bilal Philips bersetuju untuk membayar RM30,000 sebagai kos sekuriti kepada penceramah kontroversi Zamihan Mat Zin sebelum pendengaran saman fitnah sebanyak RM1 juta.

Peguam Philips, Meor Amir Meor Omar Baki berkata anak guamnya bersetuju untuk membayar penceramah kontroversi itu berdasarkan penghakiman persetujuan pada 19 Januari.

“Jumlah itu dibayar sepenuhnya pada 29 Januari,” katanya.

Zamihan sebelum ini memfailkan permohonan untuk memaksa Philips membayar kos sekuriti untuk tuntutan tersebut.

Permintaan itu biasanya dibuat apabila warga asing memfailkan tuntutan mahkamah dan defendan tidak memperoleh kos tersebut jika saman itu ditolak.

Amir berkata Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menetapkan 31 Julai hingga 2 Ogos ini untuk mendengar tuntutan mahkamah itu.

Beliau berkata Philips mungkin memanggil saksi antarabangsa untuk memberi keterangan.

Philips yang memfailkan saman pada September tahu lalu, berkata Zamihan melalui kiriman Facebook pada September melabelkannya sebagai “penyokong terorisme antarabangsa”.

Dalam pembelaan yang difailkan pada 19 Oktober, Zamihan berkata kenyataan tentang penglibatan Bilal Philips dalam aktiviti berkaitan pengganas diambil daripada laporan berita yang tersiar di National Post dan The Guardian, serta polis.

Zamihan mendakwa plaintif dilarang memasuki beberapa negara seperti Jerman, United Kingdom, Denmark dan Kenya.

Selain Philips, Zamihan juga pernah mengkritik Sultan Johor berhubung isu dobi “mesra Muslim” dan mempertikaikan kebersihan kaum Cina di Malaysia.

Beliau ditangkap kerana hasutan tetapi kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis.

Sultan Iskandar Johor Sultan Iskandar menyifatkan Zamihan sebagai “tin kosong” manakala Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah membatalkan tauliah mengajarnya.

Zamihan baru-baru ini mengkritik bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang membuat kemunculan semula dalam politik dengan berkata orang tua yang sudah berkuasa lebih 22 tahun sepatutnya masuk pondok, mengaji kitab, zikir banyak-banyak, bertaubat mohon maaf kepada manusia atas kesilapan yang lalu.

Permohonan Zamihan paksa Bilal Philips letak deposit didengar 19 Jan ini

Penceramah Islam Kanada fail saman RM1 juta terhadap Zamihan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.