Malaysia perlu majukan pembuatan senjata sendiri, kata bekas pegawai tinggi ATM

Malaysia perlu majukan pembuatan senjata sendiri, kata bekas pegawai tinggi ATM

Seruan itu dibuat di sebalik peruntukan untuk pertahanan yang jauh lebih rendah pada tahun ini.

Scorpene-reuters
Kapal selam jenis Scorpene yang dibeli Malaysia pada 2002. Malaysia berhasrat mendapatkan 2 lagi kapal selam dalam 20 tahun akan datang.(Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Bekas pegawai tinggi tentera Brigedier Jeneral (B) Datuk Mohd Arshad Raji berkata Malaysia kini menghadapi masalah besar dalam memastikan aset ketenteraannya lengkap dan mencukupi, berbanding dengan negara jiran yang sudah mula berdikari dalam menghasilkan senjata.

Arshad berkata Indonesia, Singapura dan Vietnam sudah berkemampuan mengeluarkan persenjataan kecil mereka, tetapi bukan Malaysia.

arsyad
Datuk Mohd Arshad Raji

“Kita masih tak mampu untuk mengeluarkan peralatan persenjataan, apatah lagi menghasilkan kepingan artileri yang asli,” katanya kepada FMT.

Sebuah portal hubungan antarangbangsa, The Diplomat, baru-baru ini melaporkan pemodenan tentera Malaysia menghadapi masalah lama yang sama iaitu kurang pembiayaan.

Arshad berkata, Malaysia terlalu bergantung kepada pembelian peralatan ketenteraan daripada luar negara, dan ini menyebabkan beban kepada ekonomi.

“Kerajaan perlu lebih serius dalam membangunkan sesetengah peralatan ketenteraan kita bagi mengurangkan kebergantungan kepada pembelian luar,” katanya.

Laporan The Diplomat antara lain berkata Malaysia berhasrat untuk mendapatkan kapal selam ketiga antara tahun 2031 dan 2035 dan satu lagi ialah antara 2036 dan 2040.

Pada 2002, Malaysia menempah 2 kapal selam jenis Scorpene dengan kos RM3.4 bilion. Kapal selam itu dibina bersama oleh DCNS dari Perancis dan Navantia, syarikat pembuat kapal selam dari Sepanyol.

Bajet 2018 dibentang Datuk Seri Najib Razak tahun lalu memperuntukkan lebih RM14 bilion untuk Angkatan Tentera Malaysia.

Ia lebih rendah daripada peruntukan Bajet 2017, iaitu RM15.1 bilion kepada Kementerian Pertahanan, RM1.8 bilion daripadanya untuk penyelenggaraan aset.

Lam-Choong-Wah
Lam Choong Wah

Sementara itu, bekas penyelidik kanan Institut Kajian Kemajuan Sosial (Refsa) Lam Choong Wah berkata kerajaan berwaspada terhadap sebarang permintaan menambah bajet pertahanan kerana perkembangan ekonomi negara “tidak berapa baik” semenjak krisis ekonomi dunia pada 2008.

Menurutnya, keengganan kerajaan berbelanja lebih banyak untuk ketenteraannya boleh difahami.

“Tambahan lagi pada masa kini negara tidak menghadapi ancaman konvensional yang serius, sebaliknya kita menghadapi ancaman bukan konvensional seperti anti-keganasan dan pemeliharaan keselamatan di Timur Sabah,” kata Lam kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.