Peserta maraton koma meninggal dunia

Peserta maraton koma meninggal dunia

Mangsa disahkan meninggal dunia pada 1.13 pagi oleh doktor yang merawatnya.

Runner-Evelyn-Ang-died-1
Gambar Blogspot.
SHAH ALAM:
Selepas koma hampir 3 bulan akibat dilanggar kereta ketika menyertai Klang City International Marathon 2017, Evelyn Ang Gek Suan meninggal dunia hari ini di Hospital Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ASP Mazelan Paijan berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kematian wanita berusia 44 tahun itu kira-kira 6.50 pagi tadi.

“Mangsa disahkan meninggal dunia pada 1.13 pagi oleh doktor yang merawatnya. Punca kematian ialah kecederaan teruk di kepala akibat kemalangan itu,” katanya dalam kenyataan kepada media.

Dalam kejadian 10 Dis lepas, Ang dilaporkan cedera parah di kepala dan rahang manakala 2 lagi peserta cedera di kepala dan kaki selepas dilanggar dari arah belakang oleh kereta di Batu 2, Jalan Kapar, Klang ketika menyertai acara maraton berkenaan.

Dua peserta lain yang cedera ialah Amiruddin Hamid, 37, dan Ahmad Hadafi Jus, 42.

Menurut Mazelan, mayat mangsa dituntut keluarganya kira-kira 10.30 pagi dan dibawa pulang ke Cheras.

Polis sebelum ini dilapor mengesahkan penganjur maraton tidak memiliki lesen penganjuran acara berkenaan daripada Pesuruhjaya Sukan.

Pada 20 Februari lepas, mekanik Teoh Thiam Lim, 28, didakwa di Mahkamah Majistret Klang atas tuduhan memandu secara berbahaya dan melulu dalam kejadian itu. Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.