
“Jho Low ada tak dalam kapal itu? Orang bertanya Jho Low di mana, 7 anak kapal telah ditahan di perairan Indonesia.
“Negara jiran kita di Bali hebat, besar kapal itu. Namun, kenapa di pihak Indonesia yang rakan kita di negara itu mampu mengambil tindakan kerana sudah ada keputusan yang dibuat DoJ, jadi isu yang berkaitan 1MDB boleh diambil tindakan.
“Kenapa di Malaysia yang mana segala-gala masalah berpunca di sini, satu tindakan tidak diambil? Kalau kapal dah dirampas, boleh tak saman untuk menangkap Jho Low dikeluarkan?” soal presiden PPBM itu pada sidang media di ibu pejabat parti itu, hari ini.
Semalam, pihak berkuasa Indonesia menyita sebuah kapal layar mewah di Bali, yang dikehendaki DoJ dalam siasatan rasuah berbilion dolar dikaitkan dengan 1MDB.
Ketika operasi itu dijalankan, 34 anak kapal berada dalam kapal itu, tetapi tiada kelibat Jho Low.
Menurut laporan media, penyiasat dilihat membawa kira-kira sedozen beg bimbit dan beg hitam dari kapal itu, tetapi tidak diketahui isi kandungan beg berkenaan.
Kapal bernama Equanimity yang bernilai AS$250 juta itu dilaporkan dibina khas untuk Jho Low pada 2014. Ia antara aset penting dikehendaki DoJ dalam saman sivil dikaitkan dengan pengubahan wang haram.
DoJ menerusi saman sivil di mahkamah AS mahu merampas aset lebih AS$1.7 bilion, yang didakwa dibeli dengan dana dicuri daripada 1MDB.
Ogos lalu, DoJ meminta penangguhan saman sivilnya kerana sedang menjalankan siasatan jenayah ke atas 1MDB.
Jho Low dinamakan orang penting dalam tindakan AS itu, dan didakwa menggunakan wang diseleweng daripada 1MDB untuk membeli kapal layar sepanjang 91m yang didaftarkan di Kepulauan Cayman.