Kit Siang gesa SKMM ambil tindakan Raja Petra sebar ‘berita palsu’ Kuok

Kit Siang gesa SKMM ambil tindakan Raja Petra sebar ‘berita palsu’ Kuok

Pemimpin veteran DAP itu berkata, berita palsu ialah ancaman besar terhadap keamanan negara dan mendakwa ia digunakan untuk mempromosikan kepentingan politik kerajaan.

lim-kit-siang_sprm_file
CYBERJAYA: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang hari ini melaporkan beberapa kes mengenai berita palsu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Satu daripadanya membabitkan artikel di laman web www.thirdforce.net bertajuk “Stop Lying Kit Siang. You got paid by Robert Kuok” (Henti berbohong Kit Siang. Anda dibayar Robert Kuok) yang ditulis individu menggunakan nama pena Raggie Jessy.

Lim berkata, ini adalah “contoh terburuk berita palsu menjadi tidak terkawal”.

“Artikel itu yang mendakwa saya menerima RM100 juta daripada Kuok (Tan Sri Robert Kuok) yang dibayar selama 4 tahun sejak pilihan raya umum (PRU) lalu.

“Artikel itu turut menyatakan saya bertanggungjawab terhadap sekumpulan evangelis radikal yang menganjurkan aktiviti bagi mencetuskan permusuhan antara orang Melayu dan Cina.

“Ia mendakwa saya anti-Muslim dan anti-Islam serta merancang orang Cina memerintah Malaysia,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SKMM sambil ditemani pemimpin Pemuda DAP Selangor, Young Syefura Othman, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dan Adun Kampung Tunku, Lau Weng San.

Lim menggesa SKMM menyiasat laporan itu di mana penulisnya mengaku akan menyebarkan artikel berkenaan.

Beliau berkata, tuduhan DAP dibiayai Kuok pertama kali dibuat blogger Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin yang disifatkannya berniat jahat, tidak berasas dan kecaman terhadap taikun itu.

Beliau berkata, berita palsu ialah ancaman besar terhadap keamanan negara dan mendakwa ia digunakan untuk mempromosikan kepentingan politik kerajaan.

“Di negara lain, berita palsu digunakan kerajaan autoritarian untuk melenyapka (tuduhan) pelanggaran hak asasi manusia. Di Malaysia, ia digunakan untuk menghilangkan (berita) rasuah.”

Lim juga mengulas rampasan pelbagai aset di luar negara yang didakwa dibeli dengan wang dicuri daripada dana pelaburan kerajaan, 1MDB baru-baru ini.

“Lihat RM400 juta yang mungkin dirampas kerajaan Switzerland kerana ia adalah wang dikaitkan dengan 1MDB.

“Semalam, kami dengar rampasan kapal layar Equanimity bernilai hampir RM1 bilion didakwa milik ahli perniagaan, Low Taek Jho, di mana jet Bombardier Global 5000 dia disita awal Februari lalu.”

Kapal layar itu dirampas pihak berkuasa Indonesia di Bali semalam, manakala pihak berkuasa Singapura merampas jet terbabit.

Lim berkata, Dewan Rakyat yang akan bersidang mulai Isnin depan perlu menggesa kerajaan menuntut RM400 juta yang dirampas kerajaan Switzerland, kapal layar dan jet itu.

“Saya akan mencadangkan ketua pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang akan memulakan perbahasan untuk membuat pindaan usul terima kasih kepada Agong dengan meminta kerajaan membuat tuntutan terhadap aset berkaitan 1MDB,” katanya.

Satu lagi kes berita palsu dibangkitkan Young Syefura berkaitan dakwaan beliau menyertai jamuan Cina untuk memotong babi panggang.

Beliau berkata, artikel itu disiarkan di Facebook milik “Ustazah Hamidah” pada 14 Februari lalu.

“Catatan itu menunjukkan Exco PKR Selangor, Elizabeth Wong, Adun PKR, Chua Yee Ling dan Ahli Majlis Selayang daripada PKR, Fok Wai Mun di sebuah acara perayaan Cina, tetapi membabitkan saya dalam gambar itu.

“Catatan itu mendakwa saya akan melakukan apa sahaja untuk (mendapat) undi Cina. Ini adalah fitnah terbesar kerana hidangan babi dalam gambar itu sangat sensitif kepada umat Islam.

“Perkara ini memalukan dan menjejaskan saya dengan teruk. Orang dari luar bandar yang tidak kenal Wong mungkin percaya ini adalah saya seperti dipaparkan dalam catatan tersebut.

“Berita palsu seperti ini perlu dihentikan segera. Setiap kali saya pergi ke mana sahaja, orang Melayu dan Cina akan tanya saya adakah benar catatan Facebook itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.