
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali dipetik New Straits Times sebagai berkata, Sistem Maid Online (SMO) dilaksanakan sejak 1 Januari lalu.
“Majikan yang mempunyai rekod akan dilarang mengambil pekerja asing,” katanya kepada akhbar itu.
Rakyat Malaysia yang mahu mengambil pembantu rumah asing dari 9 negara sumber dibenarkan wajib mendaftarkan diri melalui sistem itu.
Pangkalan data imigresen turut disambung kepada agensi kerajaan lain.
Sistem itu akan memberi amaran terhadap mereka yang mempunyai rekod jenayah, bankrap dan gagal membuktikan mereka mampu menjadi majikan baik.
Mustafar berkata, majikan berpotensi juga akan dinilai sama ada mereka boleh menyediakan persekitaran hidup yang kondusif kepada pembantu rumah.
Katanya, perlindungan yang digariskan dalam SMO turut menyatakan dengan jelas dalam perjanjian standard yang pembantu rumah dan pemohon menandatanganinya sebelum pengambilan.
SMO turut menangani isu perlindungan insurans.
Sementara itu, Mustafar berkata, insiden penderaan pembantu rumah asing adalah kes terpencil.
Mengulas kes pembantu rumah Indonesia berusia 21 tahun, Adelina Lisao atau nama sebenarnya Adelina Jerima Sau yang meninggal dunia kerana disyaki didera majikannya, Mustafar berkata, ia tidak mencerminkan keadaan warga asing bekerja di Malaysia secara keseluruhan.
“Ini bukannya Malaysia.”
Adelina meninggal dunia di Hospital Bukit Mertajam pada 11 Februari lalu, selepas didakwa didera majikannya.
Rakyat Malaysia juga terkejut dengan pendedahan Adelina terpaksa tidur di luar rumah, bersebelahan seekor anjing Rottweiler selama 2 bulan.
Pada 21 Februari lalu, Ambika MA Shan, 60, didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam atas dakwaan membunuh Adelina di rumahnya pada 10 Februari lalu.
Anak perempuannya, Jayavartiny Rajamanickam, 36, pula didakwa mengambil Adelina, yang tidak memiliki permit sah, bekerja antara Mac 2017 dan 10 Februari lalu.
Di Indonesia, polis berjaya menahan 2 suspek yang didakwa terlibat menghantar Adelina ke negara ini.
Polis berkata, 2 suspek itu adalah jiran mangsa dan sering terbabit dalam merekrut penduduk tempatan bekerja di luar negara.