
Keluarga kepada pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Mohd Ali Mohd Salim ketika dihubungi FMT berkata, tiada persetujuan dicapai dengan Malaysia Airlines Berhad (MAB) berhubung pampasan itu kerana wujud percanggahan dari segi jumlahnya.
“Apabila dapat surat dari MAB, lain pula jumlah yang diberikan, berbeza dengan jumlah yang dipersetujui di antara pihak keluarga dan peguam,” kata abang mangsa, Mohd Zaki.
Ali ketika itu mengikuti pengajian PhD dalam bidang “Development Neuropsychopathology” di Erasmus Universitiet Rotterdam, Belanda.
Bakal pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu antara 283 penumpang dan 15 anak kapal menaiki Boeing 777-200ER dalam penerbangan dari Amsterdam di Belanda ke Kuala Lumpur, yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.
Semua penumpang dan anak kapal, termasuk 43 warga Malaysia terkorban dalam nahas itu.
Zaki yang mewakili keluarganya berkata, mereka sukar memberikan bukti bayaran dan kiriman wang daripada adiknya kepada keluarga sebelum kejadian itu.
“Ketika itu, dia masih belum bekerja, masih belajar. Mereka (MAB) mahukan bukti transaksi yang dilakukan secara ‘black and white’.
“Dia (Ali) memang ada berikan wang kepada keluarga setiap bulan, tetapi tidak ada hitam dan putihnya, memandangkan ia selalu diberikan secara terus.”
MAB sebelum ini mengesahkan waris penumpang New Zealand yang turut terbunuh dalam nahas MH17 sudah mendapat pampasan mereka.
MAB dalam kenyataan kepada FMT berkata, pampasan itu dibuat selepas persetujuan dicapai antara waris dan syarikat berkenaan, tetapi jumlahnya tidak didedahkan.
“Kami dapat sahkan kedua-dua pihak sudah perolehi keputusan secara baik dan sulit.
“Bagaimanapun, kami tidak akan mendedahkan butiran lanjut untuk menghormati privasi dan keselamatan ahli keluarga yang terjejas,” kata Pejabat Pasca Kemalangan MAB merujuk waris warga New Zealand.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai sebelum ini dilaporkan berkata, sebanyak AS$50,000 (RM195,000) diberikan kepada waris setiap mangsa dalam nahas itu sebagai pendahuluan pampasan.