Polis Indonesia sita kapal mewah dikaitkan siasatan 1MDB

Polis Indonesia sita kapal mewah dikaitkan siasatan 1MDB

Kapal layar mewah yang dikehendaki Jabatan Kehakiman AS dalam siasatan rasuah berbilion dolar itu, disita di Bali.

1mdb_indonesia1
JAKARTA: Indonesia pada Rabu menyita sebuah kapal layar mewah di Bali, yang dikehendaki Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) dalam siasatan rasuah berbilion dolar dikaitkan dengan dana kerajaan Malaysia 1MDB, kata polis.

“Kami memeriksa krunya sejak semalam dan kami sedang mengambil tindakan selepas mendapat kelulusan mahkamah,” kata Agung Setya, pengarah jenayah khas dan ekonomi di Biro Penyiasatan Jenayah Indonesia kepada Metro TV.

Televisyen di Indonesia menyiarkan imej pegawai Indonesia bercakap dengan kru di atas kapal layar mewah itu, Equanimity, yang berlabuh di Teluk Benoa.

Setya berkata, 34 kru berada dalam kapal layar itu dan pihak berkuasa Indonesia bekerjasama dengan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) mengenai kes pengubahan wang haram, tetapi beliau tidak memberitahu bagaimana siasatan itu akan diteruskan.

“Kami akan lihat bagaimana ia berkembang. Sama ada kami boleh melakukan siasatan bersama kemudian atau kami boleh serahkan kemudian, kami dalam proses mengumpul bukti dan menyiasat.”

1MDB sedang disiasat di sekurang-kurangnya 6 negara, termasuk AS, Switzerland dan Singapura atas dakwaan pengubahan wang.

Sejumlah AS$4.5 bilion (RM17.6 bilion) diseleweng daripada 1MDB oleh pegawai berpangkat tinggi dana itu dan sekutu mereka, menurut saman sivil difailkan DoJ sejak 2 tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menubuhkan 1MDB pada 2009 dan pernah menjadi pengerusi lembaga penasihatnya. Beliau dan dana itu menafikan sebarang salah laku.

Ogos lalu, DoJ meminta penangguhan saman sivilnya bagi merampas aset lebih AS$1.7 bilion yang didakwa dibeli dengan dana dicuri daripada 1MDB kerana ia sedang menjalankan siasatan jenayah berkaitan.

Antara aset dikehendaki ialah sebuah kapal layar mewah bernilai AS$250 juta yang dibeli pembiaya Malaysia, Low Taek Jho, yang dinamakan sebagai orang penting dalam saman AS itu.

Menurut saman itu, Low yang lebih dikenali sebagai Jho Low, menggunakan wang diseleweng daripada 1MDB untuk membeli Equanimity, kapal layar sepanjang 300 kaki (91m) yang didaftarkan di Kepulauan Cayman.

Menurut laman web sewaan mewah, yachtcharterfleet.com, bahagian dalaman kapal itu dihiasi marmar dan daun emas, serta dilengkapi sebuah spa dan sauna, kolam renang sepanjang 20m di atas dek, teater filem, lif dan helipad.

Kedudukan Low tidak diketahui dan syarikat Hong Kongnya tidak menjawab permintaan untuk mendapatkan komen.

Dalam satu kenyataan yang diemel melalui wakilnya pada Jun 2017, Low berkata, tindakan DoJ adalah contoh “melampaui batas kemampuan global dalam meneruskan kes amat cacat”.

Aset lain yang didakwa dibeli Low dengan dana dicuri daripada 1MDB termasuk sebuah jet persendirian, sebuah hotel dan hartanah di New York serta kepentingan AS$107 juta dalam EMI Music Publishing.

Ada di antara aset itu yang sudah dikembalikan. Model dan pelakon Australia, Miranda Kerr menyerahkan barang kemas berjuta dolar yang menurut pihak berkuasa AS diberikan Low kepadanya, termasuk 1 set barang kemas yang diberikan kepadanya dalam satu pelayaran di atas Equanimity pada 2014.

Pelakon, Leonardo DiCaprio turut memulangkan trofi Oscar yang dimenangi Marlon Brando dan barang lain kepada pihak berkuasa AS yang didakwa dibiayai dana 1MDB.

Laporan: Jho Low hidup mewah di hotel Shanghai, kapal layar

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.