Nazri tak akan minta maaf pada Robert Kuok

Nazri tak akan minta maaf pada Robert Kuok

Ahli majlis tertinggi Umno itu berkata kenyataannya berdasarkan dakwaan penulis blog Raja Petra Raja Kamaruddin.

nazri-aziz-robert-kuok-3
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz tidak akan meminta maaf pada hartawan Tan Sri Robert Kuok selepas pejabat ahli perniagaan itu nafi beliau memberi sumbangan kepada DAP dan ada agenda menggantikan kepimpinan negara dengan DAP supaya orang Cina boleh berkuasa.

Ahli majlis tertinggi Umno itu berkata kenyataannya berdasarkan dakwaan penulis blog Raja Petra Raja Kamaruddin.

“Saya tak akan. Saya punya kenyataan berdasarkan dakwaan tidak dinafikan, yang dibuat oleh Raja Petra,” katanya pada sidang media di satu majlis di Pusat Pelancongan Malaysia hari ini.

Nazri menambah hartawan itu sepatutnya segera menafikan dakwaan yang dilemparkan terhadapnya.

“Jika dia nafikan pada awal lagi ia tidak akan jadi sehingga macam ini,” kata menteri pelancongan dan kebudayaan itu.

Sebelum ini, susulan daripada dakwaan Raja Petra itu, Nazri membidas Kuok dan mengggesa hartawan itu jangan “bersembunyi” di Hong Kong dan sertai pilihan raya umum akan datang.

“Jangan jadi pondan,” kata Nazri menurut laporan media.

Pejabat Kuok kemudian mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan “tidak berasas” itu, menafikan Kuok anti-kerajaaan, rasis dan cuvanis Cina.

signing-of-memorandum-nazri-aziz-1
Nazri menandatangani memorandum persefahaman kerjasama pelancongan antara Malaysia dan Senegal di Pusat Pelancongan Malaysia hari ini.

“Robert Kuok mahu merakamkan penghargaan sedalam-dalamnya kepada peluang yang diberikan kepadanya dan mengakui sumbangan oleh rakyat semua kepercayaan, kaum dan agama kepada pembangunan Malaysia sehingga hari ini, dan komitmen berterusan yang dikongsi semua rakyat dalam memastikan masa depan negara yang cerah,” menurut kenyataan itu.

Mengulas lanjut, Nazri mengalu-alukan penjelasan daripada pejabat Robert Kuok dan berharap hartawan itu mengambil tindakan undang-undang terhadap pendakwanya.

“Kerana kita tidak tahu mungkin penulis blog mempunyai butiran tertentu yang kita tidak ketahui,” katanya.

Isu Kuok: Zahid kata boleh berbeza tapi jangan ketepi kepentingan nasional

Guan Eng: Wang apa dari Robert Kuok?

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.