SPRM gesa orang ramai beri maklumat berhubung isu tanah Ijok

SPRM gesa orang ramai beri maklumat berhubung isu tanah Ijok

SPRM berkata suruhanjaya itu sedang meneliti maklumat yang dikumpul berkaitan isu tanah tersebut.

azam-baki
Gambar facebook.
PUTRAJAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa semua pihak yang mempunyai maklumat tentang isu tanah di Ijok, Selangor supaya mengemukakan maklumat berkenaan kepada pihaknya.

Timbalan Ketua Pesuruhjayanya (Operasi), Datuk Seri Azam Baki berkata SPRM sedang memeriksa dokumen berkaitan tanah itu yang dirampas daripada 5 syarikat, termasuk sebuah firma guaman Rabu lepas.

Memandangkan siasatan tentang perkara itu masih berjalan, beliau meminta agar suruhanjaya itu diberi masa dan ruang untuk meneliti maklumat yang dikumpulnya.

“Kami berharap orang ramai akan membantu dengan menyalurkan segala maklumat yang mereka miliki tentang isu tanah itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Tahun Baharu Cina SPRM bersama masyarakat Cina hari ini.

Isnin lepas, Barisan Nasional Selangor berkata pihaknya akan membuat laporan kepada SPRM tentang isu tanah Ijok itu.

Ketua Pnerangannya, Datuk Dr Mohamed Satim Diman berkata beberapa peneroka juga akan membuat laporan kepada SPRM berkaitan ketidakpuasan hati mereka tentang pampasan yang diterima kerana ia tidak mengikut harga pasaran semasa.

Berhubung siasatan mengatur perlawanan melibatkan pasukan bola sepak Sarawak pula, Azam berkata siasatan masih dilakukan terhadap 2 pemain negeri itu dan seorang lelaki yang dipercayai menjadi “bookie”.

“Walaupun dibebaskan dengan ikat jamin, ketiga-tiga mereka tidak dilepaskan daripada tuduhan. Sekali lagi, saya ingin tegaskan bahawa, biarlah kami selesaikan siasatan kami dahulu. Mereka masih belum bebas,” katanya.

Pada 14 Februari, ketiga-tiga mereka ditahan SPRM selepas Persatuan Bolasepak Sarawak melaporkan ia mengesyaki beberapa pemain terlibat dengan perbuatan mengatur perlawanan berikutan kekalahan pasukan itu 3-2 kepada FELCRA United di Stadium Sarawak pada 10 Februari.

Tanah Ijok: Azmin tak jawab soalan, kata Rahman Dahlan

MB: Dokumen tanah Ijok sudah diserah pada SRPM

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.