Isu Kuok: Zahid kata boleh berbeza tapi jangan ketepi kepentingan nasional

Isu Kuok: Zahid kata boleh berbeza tapi jangan ketepi kepentingan nasional

Zahid berkata semua pihak perlu saling menghormati dan tidak harus membangkitkan perkara yang boleh menggores hati terutama dalam masyarakat majmuk.

zahid
Zahid Hamidi ditemui pemberita berkata semua pandangan harus berpijak pada bumi nyata
KUALA LUMPUR:
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata mana-mana pihak boleh berbeza pendapat tetapi jangan sampai mengetepikan kepentingan nasional.

Beliau berkata demikian ketika diminta memberi reaksi kepada penafian hartawan, Tan Sri Robert Kuok, yang didakwa menyalurkan dana kepada DAP melalui anak saudaranya, James, oleh penulis blog Raja Petra Raja Kamarudin. James menafikan perkara itu.

Raja Petra mendakwa Kuok ada agenda untuk menggantikan kepimpinan Malaysia dengan DAP, supaya orang Cina boleh berkuasa. Pejabat Kuok menafikan dakwaan “tidak berasas” itu, menafikan Kuok anti-kerajaaan, rasis dan cuvanis Cina.

Menurut laporan media, Kuok sangat menghormati para pemimpin negara yang sepanjang hidup mereka melakukan segala yang boleh untuk kesejahteraan rakyat.

“Pada hemat saya, bebas untuk memberi pandangan. Namun perbezaan pendapat tidak seharusnya mengetepikan kepentingan nasional,” kata Zahid kepada pemberita di satu majlis rumah terbuka di Kelab Taman Diraja Tasik Perdana malam tadi.

“Jika kita merasakan tanah tumpah darah kita, harus ditumpahkan penuh taat kesetiaan, maka pandangan yang berbeza harus pijak di bumi nyata.”

Zahid memberitahu pemberita beliau hanya mahu menyentuh isu dakwaan terhadap Kuok dan penafian oleh hartawan itu secara umum.

Beliau menambah semua pihak perlu saling menghormati dan tidak harus membangkitkan perkara yang boleh menggores hati terutama dalam masyarakat majmuk.

“Lebih lagi seseorang itu telah berada di peringkat antarabangsa yang seharusnya dihormati dan tidak seharusnya memihak sesuatu kumpulan sahaja,” katanya.

Zahid berkata jika tidak benar sekalipun dakwaan itu, “apa yang telah timbul sesuatu yang tidak harus timbul” kerana ia menimbulkan bermacam tafsiran.

Menteri dalam negeri menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina 2018 dan ulangtahun ke-12 Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli).

Sebelum ini, susulan daripada dakwaan Raja Petra itu, Setiausaha Agung BN Tengku Adnan Tengku Mansor dilapor berkata Kuok harus ingat Malaysia negara majoriti Melayu.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini menafikan partinya pernah menerima derma atau sumbangan daripada Kuok yang dicadangkan beberapa laporan media arus perdana.

Lim membidas pihak yang cuba “membuli” Kuok kerana ahli perniagaan itu harus dihormati kerana kejayaannya, dan menggesa semua pihak membaca buku “Robert Kouk, A Memoir” yang diterbitkan taikun itu 3 bulan lalu.

Pandangan dalam buku itu dipuji sesetengah pihak namun ada juga mempertikaikan kesetiaannya kepada Malaysia. Kuok menulis ibu pejabat perniagaannya berpindah ke Hong Kong pada 1975 kerana cukai lebih rendah dan memandang hina Dasar Ekonomi Baru, yang dilaksanakan selepas rusuhan 13 Mei 1969.

Pejabat Kuok dalam kenyataan hari ini sebarang dakwaan menuduh hartawan itu lupa asal usulnya sama sekali tidak benar.

“Robert Kuok mahu merakamkan penghargaan sedalam-dalamnya kepada peluang yang diberikan kepadanya dan mengakui sumbangan oleh rakyat semua kepercayaan, kaum dan agama kepada pembangunan Malaysia sehingga hari ini, dan komitmen berterusan yang dikongsi semua rakyat dalam memastikan masa depan negara yang cerah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.