
Bercakap kepada pemberita hari ini, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata semua lelaki berumur 19 hingga 24 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 375 B Kanun Keseksaan, iaitu merogol berkumpulan yang boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 30 tahun, jika sabit kesalahan.
Beliau berkata, mereka semua sedang direman sehingga 1 Mac depan.
Katanya, kejadian rogol itu berlaku pada pertengahan Disember lepas dan difahamkan, semua anggota tentera dari Kem Mahkota, Kluang itu ditahan selepas gadis berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Kluang, kira-kira 8.50 pagi Khamis lepas.
Difahamkan, seorang daripada suspek merupakan teman lelaki gadis tersebut dan mangsa kini hamil 9 minggu.
Dalam perkembangan lain, Khalil berkata, polis menahan 129 individu kerana terlibat pelbagai kegiatan perjudian haram dalam 14 serbuan menerusi Op Limau di sekitar negeri ini, mulai 9 Februari lepas hingga semalam.
Katanya, Op Limau yang diadakan bersempena perayaan Tahun Baru Cina itu bertujuan membanteras kegiatan perjudian haram habis-habisan di tempat terbuka atau dalam bangunan.
“Daripada 129 individu itu, 101 daripadanya merupakan lelaki tempatan, 11 lelaki warga Indonesia, 8 lelaki Bangladesh, seorang lelaki Pakistan, 7 wanita tempatan serta seorang wanita Indonesia yang semuanya berumur 21 hingga 62 tahun,” katanya.
Khalil berkata, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM114,656 dan beberapa barang, termasuk 64 keping kertas tercatat angka perjudian haram, 156 keping daun terup, 768 biji batu mahjung, 25 buah dadu serta 3 ekor ayam sabung.