
Wendy Goh yang merupakan sepupu Evelyn berkata, beliau terpaksa menulis catatan itu selepas membaca banyak mesej takziah, selepas media melaporkan mesin sokongan hayatnya akan ditanggalkan.
Katanya, setakat 7.45 pagi tadi, pelari berusia 44 tahun itu masih menggunakan mesin sokongan hayat dan Dennis yang merupakan suami Evelyn tiada rancangan menanggalkan peralatan itu.
“Dennis sudah menjelaskan Evelyn akan bernafas sendiri apabila beliau bersedia,” tulisnya di Facebook.
Beliau turut menerangkan sepupunya sudah menjalani 12 pembedahan sejak kemalangan itu dan mengalami satu serangan jantung.
“(Kami) hargai jika semua orang boleh berdoa untuk Evelyn berada dalam keselesaan dan terus menghantar petanda positif kepada Dennis dan Evelyn. Terima kasih.”
Wendy turut meminta media memberi ruang dan privasi kepada ahli keluarganya dengan tidak mewawancara mereka.
“Untuk pengamal media yang membaca catatan ini, tolong beri ahli keluarga mereka masa dan ruang. Tiada wawancara.”
Semalam, media melaporkan keluarga Evelyn mengambil keputusan untuk menanggalkan mesin sokongan hayatnya.
The Star semalam memetik seorang ahli keluarga tidak dinamakan sebagai berkata, mereka dimaklumkan doktor yang organ dalaman Evelyn berhenti berfungsi dan mesin sokongan hayat tidak diperlukan lagi.
Ahli keluarga itu berkata, doktor memberitahu mereka, Evelyn hanya akan hidup beberapa jam tanpa mesin sokongan hayat.
Dalam satu catatan Facebook semalam, Caroline yang merupakan kakak Evelyn berkata: “Tolong ucap selamat tinggal kepadanya hari ini. PM (mesej peribadi kepada) saya untuk maklumat wad. Berdoa untuk keajaiban.”
Evelyn adalah seorang daripada 3 peserta larian Klang City International Marathon yang cedera dalam kemalangan itu.
Pada 20 Februari lalu, mekanik berusia 28 tahun, Teoh Thiam Lim, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang atas tuduhan memandu secara berbahaya dan melulu, menyebabkan 3 peserta larian Klang City International Marathon cedera pada Disember lepas.
Teoh yang mengaku tidak bersalah, didakwa memandu kereta Proton Iswara secara melulu atau dengan kelajuan atau dengan cara berbahaya kepada orang awam di Batu 2, Jalan Kapar, kira-kira 4.30 pagi, 10 Disember lalu.
Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 5 tahun dan denda maksimum RM15,000 jika sabit kesalahan.