
Layang-Layang Aerospace (LLA) yang menggelar diri pengendali penerbangan sayap tetap dan berputar sektor swasta utama di Timur Malaysia, sedang membuat persiapan untuk menyewa semua 14 helikopter dan 2 pesawat bersayap tetap pada tempoh itu.
Pengarah Akademi Helikopter Layang-Layang Sdn Bhd, Eric Lee berkata mereka “menerima banyak pertanyaan”, termasuk daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) walaupun belum ada tempahan diterima.
“Mereka (SPR) tanya kami berapa banyak (pesawat) kami ada untuk menyokong mereka. Kami sudah menghantar cadangan kami, tetapi mereka belum kembali kepada kami lagi.
“Tetapi, saya pasti apabila Parlimen dibubarkan, kami akan mendapat tempahan dengan cepat,” katanya kepada wartawan pada majlis tamat kursus untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia hari ini.
Beliau berkata, beberapa parti politik dan Sabah Air, sebuah lagi syarikat penerbangan komersial di negeri itu, turut bertanya mengenai perkhidmatan LLA.
Lee bagaimanapun menolak laporan sebuah portal berita yang semua helikopter LLA sudah ditempah SPR kerana tidak mungkin akademi helikopternya menyewakan semua pesawat di bawah undang-undang penerbangan.
Portal berita itu memetik Pentadbir dan Pendaftar Akademi Helikopter Layang-Layang, Thiruchelvam Therri sebagai berkata, SPR menempah 10 pesawatnya untuk PRU14.
Lee berkata, akademi helikopter itu yang mempunyai 3 helikopter dan 2 pesawat bersayap tetap, tidak boleh menggunakan pesawat latihannya untuk tujuan komersial kecuali tiada cara lain.
“Apabila keperluan itu timbul, kita dapat melihatnya, tetapi kita perlu mendapatkan kelulusan khas daripada Kementerian Pengangkutan.”
Katanya, LLA sedang membuat persediaan untuk menyewa pesawat dari syarikat penerbangan lain, jika ada permintaan tinggi untuk perkhidmatannya.
“Pada pilihan raya umum 2013, kami menyewakan 27 pesawat. Kami mungkin perlu berbuat demikian lagi kali ini,” katanya sambil menambah mereka turut menjangkakan pertanyaan dari Sarawak untuk PRU14.
Helikopter adalah satu-satunya cara untuk pegawai SPR menghantar kotak undi dan bergerak ke stesen mengundi di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak, 2 negeri terbesar di negara ini kerana hubungan darat yang lemah atau tidak wujud.
Terdahulu, 4 anggota APMM yang menamatkan latihan dengan Akademi Helikopter Layang-Layang dan diiktiraf sebagai juruterbang bertauliah hari ini.
Ini adalah kumpulan pertama kakitangan APMM tanpa sebarang pengalaman penerbangan, yang dilatih akademi itu sejak 16 Julai 2016. Mereka akan melakukan operasi mencari dan menyelamat serta pengawasan udara.
Lee berkata, akademi helikopter itu bakal menawarkan latihan untuk helikopter dan pesawat bersayap tetap di Ipoh.
“Kami akan memperluaskan kampus latihan kami ke Semenanjung Malaysia disebabkan tanah terhad di sini untuk hangar bagi menampung penambahan pesawat latihan.”