
Sivarasa Rasiah menambah cara Azmin juga melindungi kerajaan negeri daripada tuntutan bernilai RM860 juta dan bekas menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim.
“Seperti biasa, BN menyalahgunakan dan memanipulasi agensi penguatkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mewujudkan persepsi negatif walaupun kerajaan Selangor berjaya menyelesaikan masalah 980 peneroka dan mendapat tanah seluas 1,000 ekar di Ijok dengan percuma.
“Hasilnya, saya terpaksa berhadapan dengan sepasukan pegawai SPRM di pejabat saya Rabu lalu,” kata Sivarasa dalam kenyataan petang tadi.
Menurut Sivarasa, beliau sedikit sebanyak tahu mengenai perkara yang dilakukan oleh kerajaan negeri dan Azmin dalam isu itu kerana firmanya, Daim & Gamany, diminta oleh satu jawatankuasa mewakili 980 peneroka yang terbabit untuk melindungi kepentingan mereka.
Sivarasa mendakwa Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan dan pimpinan Umno lain memberikan fakta “separuh benar, salah tafsir dan membangkitkan persoalan salah” untuk mengelirukan orang awam.
Beliau juga mempertikaikan tindakan Khalid dan bekas setiausahanya, Faekah Husin, kerana didakwanya “turut bersubahat”.
Punca masalah
Menceritakan latar belakang kes, Sivarasa berkata satu skim tanah diperkenalkan di Ijok pada 1987, di mana 1,000 peneroka yang diberi tanah seluas 3 ekar memajakkan tanah kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) untuk penanaman kelapa sawit yang diuruskan seperti program Felda.
Pada 2000, kerajaan Selangor mengambil semula tanah itu dan menjualnya kepada syarikat dengan harga premium murah bagi tujuan pembangunan bercampur iaitu perumahan, kedai, pejabat dan lain-lain.
“Mereka menjanjikan peneroka pampasan sebanyak RM180,000 dan rumah bernilai RM180,000 sebagai balasan memperoleh tanah setiap peneroka seluas 3 ekar itu,” katanya.
Sivarasa dalam kenyataannya menamakan 3 buah syarikat yang terlibat, dan menurut peguam itu, syarikat-syarikat itu dikawal oleh seorang ahli perniagaan berketurunan Cina.
“BN gagal memastikan syarikat terbabit yang sepatutnya memajukan tanah itu menunaikan janji kepada peneroka,” katanya.
Beliau seterusnya mendakwa syarikat terbabit mencagarkan tanah itu kepada beberapa bank dan memperoleh beberapa ratus juta ringgit.
“Sebahagiannya digunakan untuk bayaran pampasan namun gagal menunaikan janji membina rumah untuk kebanyakan peneroka dan mengabaikan pembangunan tanah berkenaan,” katanya.
“Peneroka menunggu dengan sia-sia dengan harapan kerajaan negeri menyelesaikan masalah mereka. Tiada sebarang tindakan berkesan diambil. Tiada rumah mahupun pampasan diberi sehingga 2008.”
30 kes mahkamah
Sivarasa berkata selepas Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan Selangor daripada BN selepas pilihan raya umum 2008, peneroka bertemu Khalid pada 2009 meminta masalah itu diselesaikan.
Menurut peguam itu, Khalid mengusahakan pengambilalihan tanah dan mahu membayar pampasan harga murah berdasarkan nilaian status tanah pertanian, walaupun kerajaan terdahulu menjadikan tanah itu untuk pembangunan bercampur dan sebahagian pembangunan telah dilaksanakan.
“Pemilik saham syarikat yang baru melawan pengambilalihan tanah itu di mahkamah bagi menghentikannya, atau jika tidak berjaya, mahu mendapatkan nilai pampasan semaksimum mungkin.
“Ia mengakibatkan lebih 30 kes mahkamah yang difailkan secara berasingan membabitkan syarikat berkenaan, kerajaan negeri, bank dan juga peminjam lain terhadap syarikat itu,” katanya.
Rahman cerita separuh
Sivarasa menjelaskan tanah berkenaan ada 2 bahagian, iaitu Alam Perdana yang berkeluasan kira-kira 1,000 ekar milik syarikat LBCN Development Sdn Bhd, dan Alam Mutiara dan Alam Utama yang berkeluasan 2,200 ekar milik syarikat Mujur Zaman Sdn Bhd dan Liputan Canggih Sdn Bhd.
Menurut peguam itu, 2 kes dimenangi kerajaan negeri yang disebut Rahman merujuk kepada kekalahan LBCN mencabar notis pengambilalihan tanah oleh kerajaan negeri di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Rayuan LBCN tertangguh di Mahkamah Persekutuan sebelum penyelesaian dicapai.
“Cerita Abdul Rahman hanya benar setakat itu saja,” kata Sivarasa.
“Dalam kes lain di Mahkamah Tinggi yang dibawa oleh Maybank Islamic Berhad, selaku peminjam terhadap kerajaan negeri membabitkan tanah LBCN, memutuskan pampasan perlu dibayar kepada bank berdasarkan pembangunan bercampur dan juga kos pemilik yang membangunkan infrastruktur.”
Menurut peguam itu, Khalid hanya membayar RM3 setiap kaki persegi berdasarkan nilai status pertanian dan kerajaan negeri perlu membayar lagi RM6 bagi setiap kaki persegi.
“Yang akan menjadikan jumlahnya RM260 juta, selain berhadapan tuntutan oleh LBCN sebanyak RM600 juta atas kewujudan infrastruktur, menjadikan potensi liabiliti sebanyak RM860 juta,” katanya.
Beliau menambah kes ini tiada kaitan dengan penjualan bernilai RM1.18 bilion yang disebutkan Rahman.
Menurut Sivarasa, penjualan itu melibatkan Alam Mutiara dan Alam Utama, dan transaksi itu antara Mujur Zaman dan pemaju dan tidak membabitkan kerajaan negeri.
“Tanah itu sebenarnya masih kekal sebagai tanah persendirian kerana notis pengambilalian kerajaan negeri disekat oleh mahkamah melalui semakan kehakiman yang difailkan pemilik di Mahkamah Tinggi,” katanya.
Menurut Sivarasa, bank lain yang membat tuntutan antaranya Malayan Banking Berhad, Bumiputra Commerce Berhad, Malaysian Assurance Alliance Berhad dan Zurich Insurance, manakala peminjam bukan bank antaranya Gaya Perkasa Sdn Bhd dan Citarasa Sdn Bhd.
“Kesemuanya melindungi kepentingan atas tanah itu menerusi kaveat dan caj. Sebahagiannya turut mengambil inisiatif prosiding bagi melindungi kepentingan kewangan.”
Penyelesaian global
Sivarasa menambah Mujur Zaman dan LBCN memfailkan dakwaan salah guna kuasa terhadap Khalid secara peribadi dan kerajaan negeri yang mendatangkan kos RM1 bilion ringgit.
Beliau berkata sekalipun Khalid berjaya mengambil alih semua tanah seluas 3,200 ekar itu, kerajaan negeri masih perlu membayar pampasan sehingga mencecah RM1.4 bilion, mengambil kira nilaian tanah pembangunan bercampur dan prasarana yang dibangunkan di tanah itu.
Pada 2015, selepas bertukar menteri besar, pemilik saham baru Mujur Zaman dan LBCN mengemukakan cadangan formula global kepada Azmin.
“Mereka mencadangkan bahawa mereka mempunyai pemaju berwibawa untuk membeli tanah seluas 2,200 ekar dengan harga RM1.18 bilion,” kata Sivarasa.
“Hasil jualan itu digunakan untuk membayar pinjaman bank dan peminjam lain, maka semua kaveat, caj serta tuntutan yang dibuat atas kerajaan negeri bagi semua tanah seluas 3,200 ekar akan ditarik semula.
“Mereka juga membayar semua baki pampasan terhadap peneroka dan membina rumah untuk mereka.”
Azmin beri 4 syarat
Menurut Sivarasa, menteri besar Selangor itu secara prinsip bersetuju dengan formula itu, namun menegaskan beberapa syarat.
Pertama, keutamaan diberi kepada pembayaran baki pampasan kepada 980 peneroka dan rumah mereka hendaklah dibina oleh pembeli itu.
“Sehingga hari ini, 358 daripada 980 peneroka telah meninggal dunia. Berapa lama lagi waris mereka harus menunggu?” kata Sivarasa.
Kedua, hasil jualan mesti digunakan untuk menyelesaikan semua tuntutan tertunggak oleh bank dan peminjam lain. Semua tuntutan bank dan peminjam lain ke atas tanah LBCN (Alam Perdana) ditarik balik.
“Ini akan melindungi kerajaan negeri daripada tuntutan bernilai RM860 juta,” katanya.
Ketiga, semua tuntutan oleh LBCN ke atas Alam Perdana ditarik balik, “supaya tanah itu sepenuhnya diserah kepada kerajaan negeri”.
Keempat, semua saman sivil terhadap Khalid dan kerajaan negeri ditarik semula supaya tiada liabiliti ke atas kerajaan negeri.
“Syarikat pemilik tanah berkenaan bersetuju dengan syarat Azmin. Perjanjian dirangka dan ditandatangani. Penyelesaian global itu dirakam dan persetujuan penghakiman Mahkamah Persekutuan pada 17 Mei 2016.
“Persetujuan penghakiman membuat rujukan terhadap lebih 30 kes membabitkan tanah berkenaan, yang mana telah diselesaikan sekaligus,” kata Sivarasa.
Beliau menambah cara Azmin menyaksikan tanpa sesen pun keluar daripada perbendaharaan, kerajaan negeri mendapat tanah Alam Perdana, dan para peneroka menerima pampasan dan rumah yang dijanjikan.