Larangan minyak sawit EU tak jejas FGV, kata CEO

Larangan minyak sawit EU tak jejas FGV, kata CEO

Jualan FGV ke Kesatuan Eropah hanya kira-kira 2% daripada perniagaan mereka, kata Zakaria Arshad.

palm-oil
KUALA LUMPUR:
Rancangan Kesatuan Eropah (EU) melarang penggunaan biofuel berasaskan minyak sawit mulai 2021 tidak akan menjejaskan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) kerana eksport ke EU adalah minimum, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Zakaria Arshad.

“Pengeluaran atau penjualan kami ke EU hanya kira-kira 2% daripada perniagaan kami dan (walaupun) tanpa larangan itu kami (masih) tidak dapat menjual disebabkan harga. Oleh itu, kami hanya memberi tumpuan kepada pasaran tempatan.

“Bagaimanapun, saya bimbang mengenai persepsi minyak sawit oleh negara lain kerana mereka mungkin menganggap larangan EU itu secara menyeluruh, yang sebenarnya tidak betul,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan FGV bagi 2017 hari ini.

Parlimen EU mengundi pada 17 Januari 2018 untuk melarang biofuel berasaskan minyak kelapa sawit menjelang 2021, manakala biofuel berasaskan minyak sayuran lain seperti minyak soya dan minyak biji sesawi boleh terus digunakan sehingga 2030.

Keuntungan bersih FGV meningkat kepada RM208.04 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 daripada RM66.45 juta setahun yang lalu.

Bagaimanapun, pendapatan merosot 2% kepada RM16.97 bilion daripada RM17.24 bilion sebelumnya, berikutan keuntungan yang lebih rendah yang diperoleh daripada sektor gula akibat kos gula mentah yang lebih tinggi, kata pengeluar minyak sawit terbesar di dunia tersebut dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Ditanya sama ada FGV juga menyasarkan pengeluar minyak sayuran India yang bermasalah, Ruchi Soya Industries Ltd, Zakaria menjawab, “Buat masa ini, Ruchi Soya bukan sasaran kami.”

Semalam, Sime Darby Plantation dilaporkan menyatakan minat terhadap syarikat itu yang menguasai 25% pasaran dan beberapa jenama.

Zakaria mendedahkan FGV merancang untuk menjual 2 daripada 3 perniagaan bukan teras yang akan membawa pendapatan tambahan kepada syarikat tahun ini.

“Rundingan bagi 1 daripadanya sudah selesai dan ini akan memberi kesan kepada keputusan kewangan tahun ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.