
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia & Tugas-Tugas Khas negeri, Dr Ghazali Taib berkata ketika ini, insurans sedemikian sudah diguna pakai di beberapa negara Timur Tengah seperti Jordan dan terbukti berjaya menyelesaikan isu nafkah dengan mudah dan bersistematik.
“Insurans ini satu bentuk jaminan agar nasib anak-anak dan isteri selepas diceraikan tidak akan terabai berikutan kegagalan bekas suami menjalankan tanggungjawabnya.
Ia akan memastikan kebajikan anak-anak terbela terutama untuk urusan penting seperti berkaitan persekolahan dan pendidikan tinggi. Bagaimanapun, kajian terperinci perlu dilakukan agar mekanismenya nanti sesuai dilaksanakan di Terengganu,” katanya kepada pemberita hari ini.
Dr Ghazali yang juga wakil rakyat Ajil berkata, jawatankuasa khas akan ditubuhkan membuat kajian lebih mendalam agar pelaksanaannya nanti mampu mengatasi sepenuhnya masalah pengabaian nafkah selepas perceraian.
Beliau berkata pendekatan baharu itu perlu dilaksanakan memandangkan kes pengabaian nafkah anak masih tinggi di Terengganu.
“Tahun lepas, hanya 110 bapa yang membayar nafkah kepada anak-anak mereka. Jumlah itu masih kecil, hanya 45 peratus sahaja berbanding 269 kes tuntutan nafkah yang direkodkan sepanjang tahun 2017.
“Namun, isteri yang tidak mendapat nafkah itu tetap mendapat pembelaan melalui dana bantuan nafkah anak disalurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam),” katanya.
Sepanjang tahun lepas, sebanyak RM133,800 diberi kepada 76 ibu tunggal dengan minimum bantuan RM2,000 untuk kegunaan selama 6 bulan, katanya.