Saksi: Khairy tak pernah keluar memo bayaran bagi pihak KBS

Saksi: Khairy tak pernah keluar memo bayaran bagi pihak KBS

Wan Mustadza berkata demikian semasa menjawab soalan SPRM pada perbicaraan Otman yang didakwa atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu.

Khairy-Jamaludin-Youtube
Gambar Youtube
KUALA LUMPUR:
Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaludin Abu Bakar tidak pernah mengeluarkan memo atau arahan kepada bekas Setiausaha Bahagian Kewangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Otman Arsahd membuat pembayaran kepada beberapa syarikat yang menjalankan program sukan bagi pihak KBS.

Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) kepada Khairy Jamaludin, Wan Murtadza Wan Mahmud, berkata setiap surat dialamatkan kepada menteri belia dan sukan perlu diserahkan kepadanya terlebih dahulu untuk penelitian dan perhatian awal sebelum diserahkan kepada menteri.

“Sepanjang masa memegang jawatan sebagai SUSK kepada menteri, Otman tidak pernah memaklumkan kepada saya secara lisan atau memo tentang program dilaksanakan seperti terdapat dalam surat ‘pembayaran melalui akaun kementerian di Majlis Sukan Negara’,” katanya.

Wan Mustadza, 44, berkata demikian semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Amer Abu Bakar Abdullah ketika pemeriksaan utama pada perbicaraan Otman, 59, didakwa atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan RM38.4 juta pada 6 tahun lepas.

Saksi pendakwaan ke-46 itu memberitahu mahkamah, sepanjang bertugas sebagai SUSK, beliau tidak pernah berjumpa Otman bagi meminta peruntukan sumber kewangan daripada Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) untuk menjalankan program melibatkan pejabat menteri.

“Peruntukan bagi mana-mana program bawah KWASN perlu melalui proses permohonan teratur dan mendapat persetujuan jawatankuasa berkenaan kerana dana KWASN hanya digunakan untuk program berkaitan sukan dan pembangunan atlet sahaja.

“Perbelanjaan program melibatkan pejabat menteri kebiasaannya menggunakan peruntukan perbelanjaan mengurus, perolehan yang melibatkan pembelian peralatan pejabat dan lain-lain, mengikut tatacara perolehan kewangan biasa di KBS,” katanya.

Sambil memberitahu beliau dan Khairy Jamaludin tidak pernah menghadiri mesyuarat jawatankuasa KWASN, Wan Mustadza berkata sepanjang pengetahuannya, pejabat menteri tidak pernah menjalankan program pihak kementerian menggunakan peruntukan KWASN.

“Sepanjang pengetahuan saya, tidak pernah pada bila-bila masa dari 2013 hingga 2015 Otman memaklumkan kepada saya peruntukan KWASN digunakan membuat bayaran kepada beberapa syarikat iaitu Gapa Jitu Sdn Bhd, GPO Essence Sdn Bhd, Econic Corporation Sdn Bhd dan Dial-Ex Sdn Bhd untuk program bawah KBS,” katanya.

Semasa menjawab soalan Amer Abu Bakar sama ada minit (catatan ringkas) dikeluarkan oleh Khairy Jamaludin berhubung setiap permohonan bantuan kewangan yang dikemuka mempengaruhi keputusan mesyuarat jawatankuasa KWASN, saksi itu berkata ia tidak berkaitan.

“Mesyuarat jawatankuasa akan membuat keputusan muktamad berdasarkan kertas kerja dibentangkan atas pertimbangan jawatankuasa berkenaan,” katanya.

Pada 21 April 2016, Otman, diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, didakwa bagi 64 pertuduhan menerima wang berjumlah RM16,623,000 hasil aktiviti haram ke dalam akaun Maybank, RHB dan CIMB Berhad melalui cek antara 7 Mac 2012 hingga 11 Dis 2015.

Selain Otman, pengarah syarikat pembekal barangan sukan bawah KBS, Abdul Gafar Abdurahiman, 44, dan isterinya Siti Rohanah Hussien, 44, suri rumah, masing-masing berdepan 63 pertuduhan memindahkan wang berjumlah RM15,723,000 yang merupakan hasil aktiviti haram menerusi 63 transaksi dari akaun bank 3 syarikat milik mereka ke akaun bank milik Otman bagi tempoh sama.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi berbeza antaranya RHB Bank cawangan Presint 8, Putrajaya, Menara Maybank Jalan Tun Perak dan Maybank Jalan Raja Laut.

Otman, Abdul Gafar dan Siti Rohanah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-keduanya, jika sabit kesalahan.

Mereka juga didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA), membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun atau boleh juga didenda tidak kurang 5 kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

Abdul Gafar dan Siti Rohanah diwakili peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos. Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.