
Hanya keruntuhan pasaran yang boleh membenam harga ke paras itu, kata juruukur hartanah bertauliah Ernest Cheong, yang mempunyai lebih 40 tahun pengalaman dalam industri.
Beliau menjawab laporan Bernama yang memetik seorang penulis hartanah dan pelaburan Azizul Azli Ahmad sebagai berkata ada iklan dalam talian yang menawarkan hartanah terpakai pada harga bawah RM200,000 di ibu negara.
Cheong berkata keruntukan pasaran hartanah boleh mengurangkan harga ke paras itu. “Tetapi itu tidak akan berlaku dalam masa terdekat,” tambahnya.
Beliau berkata sekarang “mustahil” mendapatkan rumah atas tanah atau pangsapuri di bandar pada harga kurang daripada RM200,000 walaupun terpakai.
Menurut Azizul, ada unit kondominium terpakai di Bangsar dijual pada harga antara RM600 dan RM1,000 kaki persegi. “Berbanding kondominium baharu yang dijual pada harga RM1,500 hingga RM2,200 kps,” katanya.
Beliau menambah carian di laman hartanah dalam talian akan memaparkan masih banyak rumah terpakai di Kuala Lumpur yang dijual pada harga bawah RM200,000.
Cheong berkata carian sudah dibuat tetapi tidak menemui bukti menyokong dakwaan Azizul itu.
“Rumah baharu kebiasaannya dijual pada harga RM400,000 manakala rumah terpakai biasanya dijual pada harga RM250,000 ke atas,” tambahnya.
Beliau mencabar Azizul menyatakan lokasi sebenar dan spesifikasi hartanah di Kuala Lumpur yang dijual pada harga kurang daripada RM200,000.
“Kalau ada rumah seperti itu, orang akan beratur membelinya,” katanya.