
Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tindakan undang-undang itu akan memaksa JPPM respon kepada permohonan yang diserahkan pada 24 Julai tahun lepas.
“Kita rasakan JPPM gagal melaksanakan tugasnya dan ia memberi kesan buruk kepada kami kerana kami tak boleh nak buat persiapan untuk pilihan raya.
“Sama ada ia niat JPPM atau tidak, hakikatnya bahawa JPPM tidak membalas permohonan kami. JPPM sebenarnya secara efektif membantu BN,” katanya pada sidang media bersama kepimpinan PH di ibu pejabat PPBM hari ini.
Gabungan yang terdiri daripada PPBM, PKR, DAP dan Amanah berhasrat untuk bertanding pada pilihan raya umum bawah 1 logo.
JPPM sebelum ini berkata kegagalan PPBM mengadakan mesyuarat agung tahunan pertama serta pertikaian tentang status jawatankuasa eksekutif pusat DAP antara sebab kelewatan itu.
PPBM sudah mengadakan mesyuarat agung tahunan sementara JPPM sudah mengiktraif barisan baharu kepimpinan DAP.
Sementara itu, Dr Mahathir turut mempertikaikan senarai pengundi awal terbaharu yang menurut beliau menyaksikan pertambahan pengundi pos yang tinggi.
“Kita tahu dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU) lebih daripada 400,000 pengundi awal. Ini mempunyai kesan besar terhadap parti lawan.
“Jumlah sekarang ini pengundi pos sampai 1 juta orang. Ini beri peluang kepada salahguna oleh pihak tertentu,” katanya.
https://www.youtube.com/watch?v=OSZStmJ-O_Q&feature=youtu.be