
Ketua Koordinator Pemuda PKR Kota Bharu, Hassazc Shuqkin Hisham mempertahankan Pengerusi PKR Kelantan, Ab Aziz Ab Kadir yang menuntut 15 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan lalu dan berkata, Ahmad Syauqey Abdul Ghani tidak boleh mewakili PKR Kota Bharu membuat kenyataan kerana beliau bukan lagi pengarah pilihan raya PKR Kota Bharu dan tidak mempunyai sebarang jawatan dalam parti.
“Jumlah tersebut bukanlah satu jumlah ‘melampau’ kerana melihat kepada kekuatan PH negeri, sudah tiba masanya untuk PKR Kelantan mendepani cabaran dalam PRU kali ini dengan lebih ke depan dengan bertanding di banyak kerusi.
“Hasrat untuk bilangan kerusi tersebut bukanlah satu perkara yang muktamad dan masih dalam proses perbincangan di peringkat jawatankuasa tertinggi PH negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Di sinilah kekuatan PKR Kelantan timbul, yang masih membuka ruang untuk berbincang dengan parti komponen lain dengan tidak bersifat mementingkan agenda tersendiri, sebaliknya menggunakan sebaik mungkin kekuatan yang ada pada PH negeri untuk mengubah nasib dan masa depan rakyat Kelantan pada PRU14 ini.”
Khamis lalu, FMT melaporkan Syauqey mempertikaikan hasrat PKR mahu bertanding di 15 kerusi DUN pada PRU14 kerana mendakwa parti itu paling lemah dalam kalangan sekutu PH di Kelantan, serta tidak mempunyai sokongan kewangan seperti PPBM yang menurutnya disertai “tauke-tauke” berpengaruh dari Umno.
Beliau juga membayangkan PKR ketinggalan di belakang DAP dalam aspek kekuatan jentera pilihan raya, walaupun pemimpin tempatan PKR diangkat dalam jawatan kerajaan dan lantikan politik.
“Itu bagi saya melampau, tidak perlu jadi jaguh berebut kerusi.
“PKR adalah parti paling lemah di Kelantan. Amanah dan PPBM paling kuat dan ke-3 DAP,” katanya pada minggu lalu sambil mendakwa separuh daripada ahli jawatankuasa PKR Kelantan ialah penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Hassazc yang kecewa dengan dakwaan Syauqey berhubung penerimaan BR1M itu berkata, pemimpin PKR tidak akan menerima bantuan BN.
“PKR merupakan parti pembangkang yang konsisten dengan agenda reformasi dan melawan kerajaan Umno-Barisan Nasional dan tidak akan sesekali berganjak daripada prinsip parti, termasuklah menerima bantuan atau sogokan daripada parti pemerintah itu.”
Sementara itu, Syauqey ketika dihubungi FMT mengesahkan beliau bukan lagi pengarah pilihan raya PKR Kota Bharu selepas mengetuai tindakan mendesak Aziz melepaskan jawatan tahun lalu.
“Selepas daripada memorandum itu, ketua cabang Kota Bharu mendapat tekanan daripada pengerusi negeri, kemudian beliau rasa lebih bijaksana menggugurkan saya.
“Apapun, saya masih setia dengan PKR dan saya tidak kecil hati dipecat, saya akan terus bantu PKR melalui gerakan sebagai aktivis PKR dalam membawa isu rakyat,” katanya sambil berkata beliau sudah dimaklumkan secara lisan, tetapi belum menerima surat pemecatan.
Aziz bagaimanapun menafikan Syauqey dipecat kerana mendesak beliau melepaskan jawatan.
“Saya tidak pernah memberi tekanan. Saya tidak pernah campur soal pentadbiran cabang Kota Bharu, cuma mungkin ketua cabang menilai tindakan Ahmad Syauqey buat petisyen sebelum ini,” katanya ketika dihubungi FMT.
‘PKR Kelantan tiada wang dan jentera, mahu tanding banyak kerusi?’