24,000 kontraktor Melayu rugi kerana syarikat konsesi, kata persatuan

24,000 kontraktor Melayu rugi kerana syarikat konsesi, kata persatuan

Badan mewakili kontraktor Bumiputera yang diperuntukkan kerja bernilai RM200,000 ke bawah mahu Putrajaya mansuhkan syarikat konsesi yang didakwa mereka ambil untung 'atas angin'.

kontraktor
Presiden PERKOBF Tukiman Radion (kanan) berkata kontraktor kelas F seolah-olah dipinggirkan kerajaan yang memberikan projek kepada syarikat konsesi.
KUALA LUMPUR:
Sebuah pertubuhan mewakili kontraktor Melayu kelas F berkata pengagihan kontrak projek yang memihak kepada syarikat konsesi menyebabkan 24,000 kontraktor kategori berkenaan hilang punca pendapatan.

Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (PERKOBF) berkata, kerajaan seharusnya memansuhkan khidmat syarikat konsesi dalam sebarang projek pembinaan dan ubah suai.

“Kini projek bernilai RM200,000 dikumpulkan menjadi projek besar dan diberikan kepada pihak konsesi. Kita minta pihak konsesi ini dimansuhkan,” kata Presiden PERKOBF, Tukiman Radion.

Menurutnya, sebelum ini, kontraktor kelas F diberikan projek yang kini diambil alih syarikat konsesi.

Kontraktor Kelas F atau mengikut kelas terbaharu, G1, melaksanakan kerja-kerja bernilai di bawah RM200,000. Lesen bagi kelas itu dikhususkan kepada kontraktor Bumiputera.

Tukiman berkata kontraktor kelas F sering dipersalahkan syarikat konsesi apabila tidak melaksanakan projek dengan sempurna bahkan tidak mematuhi piawaian ditetapkan.

“Jika pihak konsesi mendapat sesuatu projek, seperti contoh baik pulih jalan dengan nilai RM32 setiap meter, mereka akan berikan kontrak itu kepada kontraktor kelas F dengan nilai RM19 semeter pula.

“Konsesi ambil untung atas angin, itulah sebabnya salah satu kualiti binaan yang dibina tidak ikut piawaian, apabila ada kecacatan kontraktor kelas F yang dipersalahkan,” katanya.

Menurutnya, projek seperti itu sepatutnya diberikan terus kepada kontraktor kelas F, dalam usaha kerajaan mahu menghapuskan sistem orang tengah dalam perniagaan.

Tukiman berkata, peluang kontraktor kelas F mendapatkan projek juga semakin menguncup apabila nilai had maksima adalah hanya RM200,000, sedangkan harga bahan binaan semakin meningkat.

“Sekarang ini had kita adalah sebanyak RM200,000, kita minta supaya had ini dinaikkan sebanyak RM350,000. Sekarang ini hendak dapat projek dengan nilai besar cuma setahun sekali.

“Jadi, bagaimana kontraktor kelas F hendak hidup, tambahan pula kos kehidupan sangat tinggi. Kita minta nilai RM350,000 itu kerana kita sudah 16 tahun berada di takuk RM200,000.”

Menurutnya, perolehan kerja secara undi juga sepatutnya tidak terbatas kepada kontrak bernilai RM20,000 ke bawah, sebaliknya dinaikkan had sekurang-kurangnya RM150,000.

Tukiman berkata kontraktor Bumiputera kelas F semakin hilang peluang apabila proses cabut undi projek kebanyakannya tidak lagi dilakukan secara manual sebaliknya menggunakan sistem komputer.

“Pengagihan projek kini tidak telus,” katanya.

“Kita minta ia dilakukan secara manual, secara undian dan tidak lagi menggunakan undian secara berkomputer. Penipuan boleh dilakukan menggunakan sistem undian menggunakan komputer kerana sesuatu perkara itu boleh ditetapkan.”

Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) kerajaan dan beberapa jabatan kerajaan mula menggunakan sistem komputer sejak tahun 2015.

Tukiman berkata, pihaknya sudah memohon beberapa kali untuk lakukan perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mencari jalan penyelesaian kepada masalah ini.

““Kita memang sudah ada beberapa kali tulis surat bertemu dan berbincang, tapi sehingga hari ini masih tidak berjaya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.