Sistem pendidikan Johor terbaik untuk orang Islam?

Sistem pendidikan Johor terbaik untuk orang Islam?

Bekas Ahli Parlimen memuji negeri itu kerana menekankan pengetahuan agama dan sekular.

Tawfik-Ismail_menteri
PETALING JAYA:
Seorang bekas Ahli Parlimen memuji kerajaan Johor kerana menyediakan sistem pendidikan yang meyentuh pembelajaran agama tanpa mengorbankan pendidikan sekular.

Tawfik Ismail, bekas Ahli Parlimen Sungai Benut antara 1986 dan 1990, berkata sistem Johor layak dicontohi negeri-negeri lain kerana ia memastikan murid-murid menerima pendidikan agama yang cukup serta pendedahan kepada pengetahuan sekular.

Beliau berkata pengetahuan sekular penting kerana ia membawa kepada pembelajaran kemahiran yang berguna dalam kehidupan dewasa.

Di Johor, pendidikan agama wajib untuk kanak-kanak Islam berusia antara 6 dan 12 dan sekolah dipantau jabatan pendidikan negeri dengan ketat.

Bercakap kepada FMT, Tawfik mengeluh ramai ibu bapa Melayu menghantar anak-anak mereka ke sekolah tahfiz yang hanya menawarkan pendidikan agama.

Beliau berkata pihak berkuasa harus menjawab cabaran meyakinkan orang Melayu bahawa Islam menyeru kecemerlangan dalam hidup di dunia tanpa mengabaikan akhirat.

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad baru-baru ini berkata beliau mahu melihat kerajaan membina lebih banyak sekolah agama bermutu tinggi dan menaiktaraf sekolah sedia ada ke tahap piawaian yang memuaskan.

Beliau berkata bilangan sekolah seperti itu tidak dapat menampung permintaan tinggi daripada ibu bapa Islam.

Beliau mengulas aduan Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang berkata sesetengah orang melihat sekolah tahfiz sebagai tempat untuk anak-anak bermasalah disiplin atau akademik.

Khalid berkata persepsi negatif itu kerana pada suatu masa ibu bapa hanya akan menghantar anak bermasalah ke sekolah seperti itu.

Tawfik bersetuju sekolah tahfiz tidak harus menjadi tempat ibu bapa meletakkan anak-anak mereka untuk dipelihara orang lain.

“Anak-anak kecil terutamanya perlukan didikan ibu bapa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.