
Video di Facebook Adun Stulang Andrew Chen Kah Eng itu memaparkan beliau bersama beberapa orang dewasa yang dikatakan penduduk asal kampung itu.
“Kalau nak datang lain kali, beritahu kita orang, kita ‘support’lah,” kata seorang lelaki tua dalam video itu, dan menambah beliau bertemu pihak terlibat keesokan hari berhubung kejadian itu.
“Apa sebab kau nak tutup ‘api’ orang berniaga malam-malam? Apa hal kau nak tutup lampu rumah orang? Kau tiada hak. Kau bukan tuan rumah,” sambut seorang lagi penduduk.
Dalam kejadian Ahad lepas, veteran DAP Lim Kit Siang, Adun Pengkalan Rinting Cheo Yee How, Setiausaha PPBM Johor Datuk Osman Sapian dan Ketua Penerangan PKR Johor Akmal Nasir diusir dan program Sembang Santai Warung anjuran Chen terpaksa dibatalkan atas tekanan kumpulan tertentu.
Keadaan dilaporkan bertukar tegang apabila seorang “ustaz” tampil bersama satu kumpulan untuk menghalang sidang media PH di situ, dan beberapa individu dilaporkan berkata “Saya penduduk kampung di sini, jangan kritik Umno”.
Dalam video Andrew hari ini, seorang penduduk akui beberapa ahli kumpulan itu terdiri daripada belia kampung mereka yang mahu “berpolitik tapi tidak tahu”.
“Budak-budak sini yang cetek pemikirannya,” kata lelaki itu.
“Nama pun demokrasi, bila demokrasi kita kena berhemah la kan. Undi semua pun rahsia,” kata seorang lagi penduduk.
Ahli Parlimen Johor Bahru Tan Sri Shahrir Samad bagaimanapun berkata tidak adil menuduh Barisan Nasional (BN) bertanggungjawab ke atas kejadian itu kerana tiada seorang pun dalam video kejadian yang memakai baju parti-parti BN.
Andrew dalam kenyataan berkata penduduk yang ditemui tidak mahu diugut dan ditekan kerana mahu bertemu ahli-ahli politik PH.
“Kami balik semula ke kampung semalam. Untuk kali ini, program bantuan asnaf, sembang santai dan edaran buah limau berjalan dengan cukup lancar kerana tiada sebarang gangguan,” katanya.
Dalam program itu, beliau disertai pengerusi PKR Johor Hassan Karim, Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan dan wakil PPBM.
https://www.facebook.com/DAPAndrewChen/videos/1722833394405415/
Shahrir gesa PH henti salahkan Umno, BN kerana Kit Siang dihalau