
Maryam Lee berkata, agamawan seperti Datuk Zulkifli Mohamad al-Bakri sepatutnya mencari punca rakyat memilih untuk berbuat demikian.
“Agamawan menggunakan hujah agama untuk memberi keabsahan kepada kekuasaan yang bobrok itu bukan perkara langka. Hari ini peranan agamawan Melayu masih sama, diam seribu bahasa pada kebobrokan pemimpin, tapi mudah menunggang agama untuk mendiamkan rakyat.
“Agamawan seharusnya bantu rakyat ajukan kekecewaan mereka kepada pemimpin, bukan menjadi tukang pemberi legitimasi kepada pemimpin yang terang-terangan mencuri daripada rakyat, menganiaya rakyat,” katanya kepada FMT hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Zulkifli yang berkata, haram untuk pengundi menyokong kempen memboikot atau sengaja merosakkan undi pada PRU14, serta tidak mendaftar sebagai pengundi.
“Kami cenderung menyatakan haram merosakkan undi. Begitu juga haram hukumnya daripada sudut syarak tidak mengundi dan mendaftarkan diri sebagai pengundi,” tulisnya di Facebook hari ini.
Media sebelum ini melaporkan gerakan memboikot atau sengaja merosakkan undi pada PRU14 tersebar di laman media sosial dengan hashtag #UndiRosak, #SpoiltVote dan #ProtesPRU.
Kempen itu yang menjadi subjek perdebatan hangat di media sosial baru-baru ini, dikritik pemimpin daripada parti pemerintah dan pembangkang, termasuk Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad yang menuduh pemimpin Umno di sebalik kempen itu.
Kempen itu muncul sebagai tanda protes terhadap BN dan PH, selepas Dr Mahathir dinamakan sebagai calon perdana menteri gabungan 4 parti pembangkang itu pada 7 Januari lalu.
Mengulas lanjut, Maryam mendakwa mufti Wilayah Persekutuan menyalahgunakan kuasa untuk mengekalkan jawatannya, bukan berkhidmat kepada rakyat.
“Tuan mufti memetik Ibn Khaldun, tapi tidak menghayati kritikan Ibn Khaldun kepada para pendamping pemimpin yang sering berjawatan tinggi.
“Mereka sering mengekalkan jarak antara pemimpin dan rakyat supaya mereka kekal berpengaruh kepada para pemimpin.
“Dalam erti kata lain, para pendamping kekuasaan (termasuk agamawan) menggunakan jawatan mereka bukan untuk berkhidmat kepada rakyat, tapi untuk mengekalkan kekuasaan dan jawatan mereka sendiri,” dakwanya.
Pada 3 Februari lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, haram bagi orang Islam melaksanakan agenda memulau pilihan raya atau merosakkan undi.
Katanya, tindakan itu bermakna jumud dan tidak bersedia membuat perubahan politik, selain menarik diri daripada tanggungjawab menentukan nasib serta hala tuju masyarakat.
“Kalangan umat Islam yang memulau pilihan raya atau merosak undi adalah menyerah kalah sehingga penentuan kuasa politik diserahkan kepada bukan Islam yang menjadi salah satu dosa paling besar.
“Perkara inilah yang sangat dikehendaki oleh musuh Islam di dalam negara atau di luar negara. Maka kalangan yang melaksanakan kempen memulau pilihan raya sama ada kerana bodoh dan jahilnya atau kesediaannya menjadi alat bagi memberi laluan mudah kepada musuh Islam dan musuh negara,” katanya.