Konstabel ditahan cabul pelajar pusat kemahiran

Konstabel ditahan cabul pelajar pusat kemahiran

Awalnya anggota polis itu menahan mangsa bersama teman lelakinya kerana berkelakuan tidak senonoh di dalam sebuah kereta.

polis_gari_cabul_curi600
SERI ISKANDAR:
Polis menahan seorang konstabel kerana didakwa mencabul seorang penuntut perempuan sebuah pusat kemahiran semalam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Mohammad Zainal Abdullah berkata anggota polis itu ditahan di Balai Polis Parit selepas penuntut berumur 20 tahun itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar pada pukul 5 petang.

Katanya sebelum kejadian, anggota polis itu menahan mangsa bersama teman lelakinya kerana berkelakuan tidak senonoh di dalam sebuah kereta di tepi jalan Parit-Seri Iskandar sebelum membawa pasangan itu ke sebuah kedai makan pada 12 tengah hari.

“Ketika berada di kedai makan anggota polis itu didakwa meminta suapan sebanyak RM700 daripada pasangan itu dan memberi tempoh 2 minggu untuk mereka jelaskannya jika tidak mahu dia membuat laporan,” katanya pada sidang media hari ini.

Anggota terbabit kemudian meminta untuk menghantar penuntut terbabit pulang ke pusat kemahiran sebelum mencabul mangsa di dalam keretanya, katanya.

Mohammad Zainal berkata anggota polis yang telah berkhidmat selama 2 tahun itu kini direman 4 hari mulai hari ini.

Beliau berkata pihak polis tidak akan melindungi mana-mana anggotanya yang melakukan kesalahan dan tindakan sewajarnya akan dikenakan sekiranya benar mereka bersalah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.