Kementerian Pengangkutan cadang lorong lebuh raya ditambah

Kementerian Pengangkutan cadang lorong lebuh raya ditambah

Pihaknya meneliti untuk menambah 1 atau 2 lorong di lebuh raya sesak sebelum mengusulkannya kepada kerajaan.

Ab-Aziz-Kaprawi-lorong-jalan-di-lebuhraya
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan bercadang menambah bilangan lorong di lebuh raya bagi menampung bilangan kenderaan dan mengurangkan kesesakan.

Timbalan Menterinya, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata pihaknya meneliti untuk menambah 1 atau 2 lorong di lebuh raya sesak sebelum mengusulkannya kepada kerajaan.

“Perkara ini perlu dilakukan kerana populasi meningkat selain mengurangkan kesesakan. Beberapa lokasi dikenal pasti, antaranya dari Johor Bahru hingga Ayer Hitam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan kempen keselamatan jalan raya sempena Tahun Baharu Cina peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2018 hari ini.

Beliau berkata dengan usaha berkenaan termasuk sistem kereta api lengkap pada masa akan datang, rakyat dapat menikmati perjalanan lebih selesa dan bermutu.

Selain itu, beliau berkata pihaknya juga mengenal pasti beberapa jalan raya kategori berbahaya untuk dinaik taraf bagi mengurangkan risiko kemalangan.

Menyentuh mengenai keselamatan jalan raya, beliau berkata program advokasi membuahkan hasil dalam membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Menurut statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia, jumlah kemalangan maut bagi tahun 2017 mencatatkan 6,265 kes berbanding 6,570 kes pada 2016.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.