Najib: Jika terambil, kerajaan sedia kembali kuasa, hak Sarawak

Najib: Jika terambil, kerajaan sedia kembali kuasa, hak Sarawak

Sebuah jawatankuasa peringkat tinggi ditubuhkan untuk membincangkan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 dengan jawatankuasa ditubuhkan kerajaan negeri.

najib-sarawak-1
KUCHING: Kerajaan persekutuan tiada masalah mengembalikan kuasa atau hak kerajaan Sarawak yang “terambil” secara sengaja mahupun tidak sengaja, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa peringkat tinggi untuk duduk semeja dengan jawatankuasa peringkat tinggi ditubuhkan kerajaan negeri bagi membincangkan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Runding baik-baik, cari penyelesaian, semua boleh bincang. Dalam Kabinet (persekutuan) pun ramai menteri datangnya dari Sarawak,” katanya semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) ke-14 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.

Najib yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, kerajaan hari ini lebih jujur dan ikhlas dalam banyak isu, berbeza suatu ketika dahulu apabila sesiapa sahaja yang menyentuh soal Perjanjian Malaysia 1963 akan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau seterusnya memuji perpaduan dan permuafakatan PBB sehingga banyak jawatan tinggi parti dimenangi tanpa sebarang pertandingan, yang menurutnya harus menjadi model dicontohi parti politik lain di Malaysia.

Katanya, dengan melihat kepada perpaduan, permuafakatan dan semangat juang tinggi ditunjukkan PBB hari ini, beliau yakin parti itu sudah bersedia menghadapi pilihan raya dan mampu memberikan keputusan terbaik kepada BN.

Najib berkata, kerajaan juga tidak ragu-ragu untuk menyalur peruntukan pembangunan kepada Sarawak yang dianggapnya “memang berbaloi” dalam usaha membawa pembangunan adil dan saksama buat semua.

Beliau berkata, seharusnya tidak ada jurang pembangunan di antara negeri, dan sebab itu juga peruntukan besar perlu disalur kepada Sarawak kerana pembanguan untuk seluruh rakyat perlu diagihkan sama rata antara negeri.

Perdana menteri berkata, sebab itu beliau memberi tumpuan terhadap pembangunan Lebuhraya Pan Borneo tanpa tol yang menelan belanja tidak kurang RM14 bilion yang dijangka siap pada 2021.

Selain itu katanya, beliau turut memberi tumpuan terhadap usaha membina jalan raya bagi menghubungkan Kapit di tengah pedalaman Sarawak supaya kawasan itu dapat dihubungkan dengan dunia luar menerusi jalan darat.

“Dalam konteks Sarawak, anda semua tidak perlu bimbang, saya sahabat baik Sarawak. Saya ingin lihat seluruh pelusuk tanah air kita, dari Perlis sehingga ke Sabah, membangun dan maju secara seimbang, adil dan saksama. Kalau ada jurang pembangunan, tanggungjawab saya sebagai perdana menteri untuk menanganinya,” katanya.

Katanya, sebagai perdana menteri, beliau melawat Sarawak sebanyak 59 kali sehingga ke kawasan pedalaman, dan secara berseloroh berkata, perkara itu boleh disahkan bekas timbalan ketua menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang yang sering mengemas kini setiap lawatan perdana menteri ke Bumi Kenyalang.

Katanya, beliau turut melihat jalinan permuafakatan cukup istimewa dalam kalangan ahli PBB antara pemimpin baharu dan lama, di samping kepelbagaian etnik yang mengukuhkan parti sehinggakan beliau tidak nampak jurang perbezaan antara mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.