Malaysia Airlines mencari pekerja baharu

Malaysia Airlines mencari pekerja baharu

Syarikat penerbangan negara itu yang sebelum ini melepaskan 6,000 pekerja kini mencari anak kapal dan mempunyai kekosongan dalam bidang lain.

MAS
KUALA LUMPUR: Selepas lebih kurang 6,000 pekerja dibuang 3 tahun lalu sebagai sebahagian daripada usaha penstrukturan semula, Malaysia Airlines Bhd kini mencari pekerja baharu, menurut laporan The Edge Financial Daily.

Perekrutan itu diperlukan memandangkan Malaysia Airlines sedang memperbesarkan saiz angkatan dan rangkaiannya.

Syarikat penerbangan itu menyenaraikan kekosongan anak kapal dan 11 lagi pekerjaan lain, antaranya penganalisis, kapten, pegawai pertama, pengurus fleet, keselamatan penerbangan dan pelatih perkhidmatan pelanggan, dalam seksyen kerjaya di laman webnya.

Laporan itu mengatakan syarikat penerbangan nasional itu sudah mengadakan 3 pesta kerjaya sejak awal tahun ini bagi merekrut anak kapal di Pulau Pinang, Melaka dan Pahang. Syarikat itu akan mengadakan satu lagi kempen rekrut anak kapal di Petaling Jaya esok.

Jurucakap syarikat itu dipetik berkata, “Malaysia Airlines baru-baru ini memulakan kempen rekrut bagi mencari juruterbang dan anak kapal bagi memenuhi keperluan operasi. Sejak 2016, syarikat penerbangan sudah memperbesarkan rangkaiannya dengan menambah beberapa destinasi dan meningkatkan kekerapan dan juga meningkatkan ukuran perkhidmatannya kepada operasi kapal terbang jenis saiz lebar (wide-body).

“Malaysia Airlines akan terus menerbangkan sehingga 40,000 penumpang setiap hari dengan peningkatan signifikan dalam jumlah penerbangan yang dikendali syarikat penerbangan nasional itu.”

Bagaimanapun, ia tidak mendedahkan jumlah orang yang mahu direkrut atau sama ada ia bercadang mengambil semula mereka yang dibuang pada 2015.

Sebagai sebahagian daripada rancangan pemulihannya, syarikat itu yang dahulu dikenali sebagai Malaysia Airlines System membuang 6,000 daripada 20,000 pekerjanya dan membatalkan 30% perjalanannya untuk memberi perhatian kepada penerbangan domestik dan serantau yang lebih memberi keuntungan pada Ogos 2015, selepas sahamnya dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada 31 Disember 2014.

Pada 8 Disember tahun lepas, Malaysia Airlines mengumumkan pembesaran rangkaiannya berada pada landasan betul, dengan 2 penerbangan baharu diperkenalkan pada suku ke-3 2017 iaitu Chongqing, China dan Surabaya, Indonesia.

Pada Jun tahun ini, ia bakal menyambung semula penerbangan Kuala Lumpur-Brisbane yang digantung pada 2015 dan menambah kekerapan penerbangan ke Adelaide dan Perth, kata laporan itu.

Malaysia Airlines dijangka menerima 6 pesawat jenis saiz lebar (wide-body) Airbus A330-200s dan 6 buah A350-900s bermula tahun ini, lapor The Edge Financial Daily. Pesawat pertama A350-900s sudah pun beroperasi dalam perkhidmatan Kuala Lumpur ke London sejak 15 Januari.

 

Malaysia Airlines terkejut Peter Bellew umum letak jawatan

Khazanah: Malaysia Airlines lewat pulih kerana ringgit lemah

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.