Milo kurang manis, kata Nestle

Milo kurang manis, kata Nestle

Sekiranya pengguna mengikut sukatan dicadangkan pada bungkusan Milo, minuman berkenaan tidak akan mengandungi kadar gula berlebihan, menurut Nestle.

minum-milo-banyak
KUALA LUMPUR: Nestle Malaysia hari ini menyangkal dakwaan produk Milonya mengandungi kadar gula tinggi.

Sebaliknya, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Halal syarikat Othman Md Yusoff, jika pengguna mengambil minuman itu mengikut cadangan hidangan, kandungan gula hanya sekitar 6%.

“Kandungan 40% gula (setiap hidangan) dimaksudkan itu merujuk kepada serbuk belum dibancuh dengan air. Milo dibancuh hanya mengandungi sekitar 6% gula sahaja.

“Daripada 6% itu pula hanya 3% sahaja gula yang ditambah, lagi 3% adalah gula semula jadi daripada kandungan susu (laktosa) terdapat dalam serbuk Milo itu,” jelasnya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata sekiranya pengguna menyediakan minuman itu mengikut sukatan dicadangkan pada bungkusan Milo iaitu 5 sudu dicampur dengan 200ml air, minuman berkenaan tidak akan mengandungi kadar gula berlebihan.

Masalah timbul apabila pengguna tidak mengikut cadangan sukatan hidangan dengan menambah gula atau susu pekat dalam minuman itu, katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas video seorang aktivis media sosial baru-baru ini mendakwa kononnya produk Milo mengandungi kadar gula terlalu tinggi iaitu sebanyak 40% bagi setiap hidangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.