
Katanya, sejak beliau terpilih sebagai adun Meru pada 2008 sehingga kini, peruntukan kerajaan negeri biasanya diterima pada pertengahan Februari.
“Ini biasa, setiap tahun memang peruntukan lambat. Setiap tahun memang akan dapat dalam pertengahan bulan dua, tidak pernah berlaku masuk pada bulan Januari.
“Sebelum ini saya jumpa Shuhaimi Shafie, dia juga kata dia tidak dapat lagi (peruntukan), tetapi ada orang mainkan isu ini,” katanya kepada FMT.
Setiap tahun, kerajaan Selangor memperuntukkan RM800,000 kepada setiap adun dan RM300,000 untuk ahli Parlimen di negeri itu.
PAS kini mempunyai 13 adun, seorang ahli Parlimen, iaitu Dr Che Rosli Che Mat di Hulu Langat serta 5 penyelaras Dewan Undangan Negeri di Selangor.
Awal bulan lalu, khabar angin tersebar mendakwa semua peruntukan wakil PAS dibekukan kerajaan Selangor ketika mereka menghantar permohonan.
Pada 10 Januari lalu, Azmin menafikan dakwaan itu dengan menjelaskan kelewatan itu mungkin berpunca daripada masalah teknikal dan beliau berjanji akan menyelesaikannya secepat mungkin.
Pada 18 Januari lalu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi dilaporkan tidak menolak kemungkinan akan menghadap Sultan Selangor, jika isu pembekuan peruntukan wakil rakyat tidak diselesaikan segera.
Katanya, PAS Selangor akan meminta Azmin mengadakan mesyuarat dengan mereka bagi menjelaskan punca menyekat peruntukan kepada ahli Parlimen dan adun parti Islam itu.