
Ini kerana mereka menarik diri daripada tanggungjawab menentukan nasib dan hala tuju masyarakat.
“Pilihan raya alat bagi memilih pemimpin yang wajib dalam kehidupan bermasyarakat dan menjadi sebahagian daripada syariat Islam, sama ada mewakilinya menjadi pemerintah secara langsung atau mewakili dalam kewajipan amar maaruf dan nahi mungkar.
“Tindakan pemulauan atau merosak kertas undi adalah menempah kepada keburukan yang lebih besar mudaratnya, apabila melakukan pilihan lebih besar mudaratnya kepada negara dan umat,” katanya dalam satu kenyataan media.
Hadi menambah memulau pilihan raya atau merosak undi bermakna jumud dan tidak bersedia membuat perubahan politik kepada yang lebih baik.
“Memulau pilihan raya juga mendedahkan kepada pilihan yang merosakkan negara dan rakyat, sama ada secara bersendiri atau mengundang campur tangan asing yang menjajah semula.
“Kalangan umat Islam yang memulau pilihan raya atau merosak undi adalah menyerah kalah sehingga penentuan kuasa politik diserahkan kepada bukan Islam yang menjadi salah satu dosa paling besar.
“Perkara inilah yang sangat dikehendaki oleh musuh Islam di dalam negara atau di luar negara. Maka kalangan yang melaksanakan kempen memulau pilihan raya sama ada kerana bodoh dan jahilnya atau kesediaannya menjadi alat bagi memberi laluan mudah kepada musuh Islam dan musuh negara,” katanya.
Sebelum ini, seorang aktivis yang menyokong kempen supaya orang ramai merosakkan undi mereka pada pilihan raya umum (PRU) akan datang berkata gerakan itu semakin mendapat tempat di kalangan orang muda.
Maryam Lee memberitahu sebuah forum membincangkan #UndiRosak, hashtag yang digunakan penyokong kempen itu di media sosial, ia kerana ramai tidak berpuas hati dengan tawaran yang dibuat oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), gabungan pembangkan yang mencalonkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri.
Menurutnya, orang muda sudah “letih” dengan permainan politik kedua-dua pihak, dan berkata ia semakin terserlah di kawasan bandar.
Kempen #UndiRosak menjadi subjek perdebatan hangat di media sosial baru-baru ini, dan dikritik oleh beberapa pemimpin pembangkang termasuk Dr Mahathir, yang menuduh pemimpin Umno di sebalik kempen itu.
Ia muncul selepas PH pada 7 Januari lalu menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri.
Ini diakui Maryam, yang berkata ia petanda PH boleh memerintah dengan lebih buruk daripada BN.