RM195 juta peruntukan bangunkan Kudat dalam RMK11

RM195 juta peruntukan bangunkan Kudat dalam RMK11

Peruntukan berkenaan merupakan kesinambungan peruntukan berjumlah RM155 juta yang diluluskan kerajaan untuk membiayai projek rakyat di daerah paling utara negeri Sabah itu

Sapdin-Ibrahim-bandar-kudat
KUDAT: Kerajaan meluluskan peruntukan kira-kira RM195 juta untuk membiayai pelaksanaan pelbagai projek pembangunan berkepentingan rakyat di daerah Kudat dalam Rancangan Malaysia Ke-11(RMK11), kata Pegawai Daerah Kudat, Sapdin Ibrahim.

Beliau berkata peruntukan berkenaan merupakan kesinambungan peruntukan berjumlah RM155 juta yang diluluskan kerajaan untuk membiayai projek rakyat di daerah paling utara negeri Sabah itu dengan jumlah penduduknya kira-kira 119,200 orang, dalam RMK10.

Katanya, antara projek berjaya disiapkan melalui peruntukan dalam RMK10 ialah kerja menaik taraf sauk Loji Rawatan Air Pulau Banggi, menelan kos RM35 juta, pembinaan ”ramp” dan naik taraf jeti Kudat (RM8.8 juta).

Projek lain yang dilaksanakan melalui peruntukan RMK10 itu ialah pembinaan Masjid Kampung Ayer bernilai RM4 juta, pembinaan Mahkamah Anak Negeri (RM4.5 juta) dan projek naik taraf Jalan Pantai Kelambu (RM9 juta).

“Antara projek yang sedang dan akan kita laksanakan melalui peruntukan RMK11 ialah pembinaan Muzium Tun Mustapha dengan kos kira-kira RM7 juta, menaik taraf Taman Awam Bandar Kudat (RM6 juta), menaik taraf Jalan Laksian, Pulau Banggi (RM35.5 juta) dan menaik taraf Jalan Malinyu, Pulau Banggi (RM19 juta),” katanya kepada Bernama.

Menurut Sapdin, projek yang turut tersenarai dan sedang atau bakal dilaksanakan dalam RMK11 ialah membina Sekolah Kebangsaan (SK) Muhibbah dengan kos RM20 juta, menaik taraf Jalan Pantai Kelambu Fasa 2 (RM8 juta) dan membina kuarters hospital (RM17 juta).

Katanya, projek lain yang akan atau sedang dilaksanakan dalam RMK11 itu juga ialah membaik pulih sekolah daif seperti SK Kapitangan dengan kos dianggarkan RM6 juta, SK Palak (RM6 juta) dan SK Perapat Laut (RM5 juta).

Menurut Sapdin, projek memasang paip agihan ke Kampung Perpaduan Ria bernilai RM8 juta dan projek menaik taraf Tamu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dengan kos RM1.7 juta juga akan dilaksanakan dalam RMK11.

Katanya Jalan Pesisir Pantai dari Tuaran ke Simpang Mengayau, Kudat yang dianggarkan bernilai RM2.5 bilion di bawah projek Lebuhraya Pan Borneo mungkin akan mula dilaksanakan tahun hadapan.

“Semua infrastruktur asas ini memberi impak besar kepada penduduk. Pulau Banggi juga kita tidak abaikan. Projek pembangunan kita salurkan ke pulau berkenaan. Tahun ini saja, antara jalan yang akan dinaik taraf ialah Jalan Laksian (RM35.5 juta) dan Jalan Malinyu (RM19 juta) manakala sekolah-sekolah daif di Pulau Banggi akan dibaik pulih dengan kos RM16 juta,” katanya.

Mengenai perkembangan projek dalam RMK11 itu, Sapdin berkata pembinaan Muzium Tun Mustapha sudah berjalan manakala kerja menaik taraf kemudahan pelancongan di Puncak Residen bernilai kira-kira RM700,000, menaik taraf Taman Awam Bandar Kudat dan Bangunan Tamu Fama akan bermula tahun ini.

Dengan menaik taraf sauk Loji Bekalan Air di Pulau Banggi pula, Sapdin berkata loji itu akan berupaya membekalkan kira-kira 15 juta liter sehari (mld) berbanding cuma dua mld sebelum dinaik taraf dan kapasiti pengeluaran loji ini melebihi keperluan air penduduk Pulau Banggi berjumlah kira-kira 12,000 orang.

Katanya, projek naik taraf loji berkenaan sudah siap dan akan diserahkan kepada Jabatan Air Negeri Sabah dalam tempoh terdekat untuk pengoperasian.

Sementara itu, Sapdin juga berkata pihaknya mengemukakan permohonan mendapatkan peruntukan tambahan sebanyak RM250 juta bagi membiayai pelbagai projek awam lain di daerah itu yang bakal memberi impak besar kepada rakyat di daerah berkenaan.

Katanya, antara projek dicadangkan agar diberi keutamaan bawah peruntukan dipohon itu adalah membina Jalan Pesisir Pantai Kampung Tanjung Kapor-Kampung Muhibah bernilai RM48 juta, membina jalan ke Tanjung Simpang Mengayau (RM10 juta), menaik taraf bandar Kudat (RM5 juta), menaik taraf kemudahan pelancongan di Simpang Mengayau (RM15 juta), menaik taraf Esplanade Sidek (RM5 juta) serta menaik taraf Pusat Kuarantin dan Imigresen dan jeti pelabuhan Kudat (RM50 juta).

Menurut Sapdin, projek lain dipohon bawah peruntukan berkenaan ialah pembinaan 1,500 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR), pembinaan Sekolah Menengah Agama Negeri dengan anggaran kos RM35 juta, pembinaan Terminal Bersepadu Pengangkutan Awam Kudat (RM4 juta), menaik taraf kemudahan pelancongan Gua Balambangan (RM1 juta), serta pembinaan Muzium Marin (Akuarium) Taman Tun Mustapha.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.