
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Pertubuhan Bangsa Bersatu dan masyarakat antarabangsa mengiktiraf Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak penubuhan persekutuan ini pada 16 September 1963.
Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kenyataan seorang ahli Jawatankuasa Perundingan Filipina, Aquilino Pimentel Jr seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.
Menurut laporan itu, Pimentel, yang dilantik bagi mengkaji semula Perlembagaan 1987, berkata beliau akan mencadangkan kemasukan Sabah ke dalam Filipina sebagai sebahagian daripada peralihan negara itu kepada sistem kerajaan persekutuan.
“… kenyataan (tuntutan) seperti ini akan hanya mendedahkan kejahilan tentang sejarah dan undang-undang antarabangsa di pihak mereka yang menyuarakannya serta berpotensi untuk merosakkan hubungan 2 hala yang begitu kukuh antara Malaysia dan Filipina ketika ini,” kata Anifah dalam satu kenyataan.
Semasa Sidang Kemuncak Asean di Kuala Lumpur pada 1977, Presiden Ferdinand Marcos berikrar untuk menggugurkan tuntutan Filipina terhadap Sabah yang wujud sejak sekian lama sebelum itu.