
Presiden WTM, Muhd Iqbal Sulaiman berkata, keputusan itu dibuat exco baharunya selepas menilai sumbangan dan pencapaian lalu.
“Ia keputusan sukar kerana kami memerlukan penaung baharu yang perlu terbabit secara aktif dalam aktiviti mengumpul dana serta memberi nasihat penting sejajar visi jangka panjang persatuan ini.
“Dr Siti Hasmah bersama persatuan ini selama 20 tahun dan kami amat berterima kasih atas sokongan berterusan dan mengharapkan yang terbaik untuknya.
“Sudah tiba masa untuk persatuan ini mara dan menetapkan sasaran, termasuk kelayakan merit ke Paralimpik Tokyo 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bulan lalu, WTM melantik exco baharu yang diketuai Iqbal untuk menggantikan Lenny Ghandi.
Semalam, anak sulung Siti Hasmah, Datin Paduka Marina Mahathir mengumumkan ibunya digugurkan sebagai penaung WTM.
Seorang pembantu Siti Hasmah berkata, mereka menerima surat yang ditulis pada 28 Disember lalu, selepas jawatankuasa WTM meluluskan resolusi itu melalui mesyuarat agung tahunan. Ia diserahkan dengan tangan pada 22 Januari lalu dan ditunjukkan kepada Siti Hasmah keesokan harinya.
Berita pengguguran itu tersebar 2 hari selepas Siti Hasmah disoal polis pada Jumaat lalu, atas penglibatannya dalam sebuah perhimpunan wanita di Kuala Lumpur, September tahun lalu.
Hari ini, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan tindakan WTM menggugurkan isterinya.
“Saya percaya kegugurannya akan memberi kemenangan yang besar pada Najib pada PRU14 kerana dia adalah orang yang cukup penting dalam politik Malaysia,” kata bekas perdana menteri itu yang terkenal dengan sindirannya, merujuk Datuk Seri Najib Razak.
“Sehingga kalau jadi penaung mana-mana pertubuhan pun, dia begitu berkesan untuk mempengaruhi keputusan rakyat pada PRU nanti,” katanya dalam komen menerusi video di Facebook.
Iqbal berharap semua pihak memahami matlamat persatuan itu dan perubahan perlu dilakukan untuk mencapai kemajuan.
Katanya, exco baharu juga mahu melaksanakan rancangan baharu di bawah program “Bag Full of Dreams” yang menekankan pembangunan bakat sukan Malaysia dalam komuniti kerusi roda untuk meraih pencapaian lebih baik.
“Dengan rombakan besar ke atas tugas dan kedudukan, strategi utama exco baharu ialah fokus rancangan jangka panjang.
“Ini termasuk program pembangunan atlet seluruh negara, projek mampan untuk operasi harian persatuan dan kerjasama dengan rakan kongsi berpotensi serta pihak berkepentingan dalam badan tenis di dalam dan luar negara.”
Katanya, selepas kejayaan atlet tenis kerusi roda dalam Sukan Para Asean ke-9 di Kuala Lumpur, September lalu, WTM perlu memfokuskan peluang meningkatkan ranking dan mencapai prestasi kukuh dalam saingan antarabangsa di masa depan.