
Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL, Datuk Mahadi Che Ngah berkata, pemisah baharu itu lebih fleksibel, selamat dan mudah dilihat pengguna jalan raya lain, khasnya pada waktu malam.
“Kita akan ganti dengan pemisah baharu yang jenisnya lebih selamat kepada pengguna jalan raya lain dalam seminggu, dua lagi.
“Pemisah baharu ini berbentuk fleksibel dan mempunyai elemen keselamatan. Ia memberi cahaya di waktu malam yang dapat memberi perhatian kepada pengguna jalan raya untuk melihat laluan basikal ini,” katanya ketika ditemui di The Vertical, Bangsar South, hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan kos keseluruhan untuk memasang pemisah baharu itu dan pemisah lama yang ditanggalkan itu akan digunakan sebagai “stopper” di tempat letak kenderaan.
Pada 22 Januari lalu, DBKL menanggalkan pemisah laluan basikal sepanjang 11.9km di pusat bandar itu selepas gambar penunggang motosikal cedera akibat kemalangan dekat laluan basikal itu tersebar di media sosial sehingga menimbulkan persoalan mengenai kewajaran memasang alat berkenaan.
Pemasangan pemisah laluan basikal lama itu mengikut piawaian antarabangsa seperti diguna pakai di negara lain.
Mahadi berkata, pemisah lama itu hanya sempat dipasang di sebahagian kecil laluan basikal, iaitu 3km daripada keseluruhan 11.9km.
“Pilihan untuk menggunakan pemisah laluan basikal itu banyak, mungkin reka bentuk yang dipasang sebelum ini ada kelemahan sedikit sebab bentuknya mempunyai lekuk di tengah.”
Katanya, DBKL turut bercadang berbincang dengan Prasarana Malaysia Berhad untuk membenarkan pengguna membawa basikal menaiki Transit Aliran Ringan (LRT).
“Kita lihat pilihan ini, tetapi kita hendak buat laluan dahulu. Kita wujudkan keyakinan untuk orang ramai menggunakan basikal di dalam bandar terlebih dahulu,” katanya.
Pengarah Pengurusan Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta Direktori Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL, Abdul Hamid Surip berkata, pihaknya terbuka untuk membincangkan pemasangan pemisah laluan basikal itu.
Katanya, masih tiada perbincangan untuk mengenakan denda kepada pengguna jalan raya lain yang menyalahgunakan laluan basikal.
“Kita akan wartakan supaya mana-mana kenderaan, selain basikal tidak dibenarkan menggunakan jalan berwarna biru itu. Sesiapa yang masuk selain basikal adalah suatu kesalahan.”