
Beliau membidas penggerak kempen itu kerana cuba mendorong generasi muda mengikut “rentak songsang” ketika negara sedang bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.
“Tindakan kumpulan boikot atau undi rosak merupakan tindakan yang sesat di jalan yang terang. Mereka ini harus menggunakan undi di tangan bagi menentukan untung nasib mereka,” katanya kepada FMT.
Beliau mengingatkan bahawa peluang untuk membuat keputusan besar seperti ini hanya datang 5 tahun sekali, dan menambah kempen merosakkan undi tidak akan memberi kesan besar.
“Janganlah mereka terlalu beremosi dan membuat perkara janggal yang langsung tidak memberi apa-apa makna,” katanya.
Bung Moktar menyertai ahli-ahli politik parti pemerintah dan pembangkang lain yang mengkritik kempen itu dan menggesa anak muda untuk menyertai proses pilihan raya.
Beliau mengulas kempen #UndiRosak yang kembali tersebar di laman sosial. Di satu forum membincangkan kempen itu baru-baru ini, aktivis mendakwa “gerakan” itu semakin mendapat tempat dalam kalangan orang muda.
Aktivis tersebut, Maryam Lee, berkata orang muda sudah “letih” dengan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, terutamanya selepas melihat tawaran pilihan raya daripada kedua-dua gabungan politik terbesar itu.
Semakin ramai bersama kami, kata penyokong kempen rosakkan undi