G25: Timur, Barat berpecah kerana keliru tentang penubuhan Malaysia

G25: Timur, Barat berpecah kerana keliru tentang penubuhan Malaysia

Johan Arriffin Samad berkata kegagalan memahami perbezaan antara 31 Ogos 1957 dan 16 September 1963 antara penyebab konflik antara rakyat di Malaysia Timur dan Barat.

Johan-Arriffin-Samad-1
SHAH ALAM:
Seorang bekas penjawat awam kanan menyalahkan kegagalan rakyat Malaysia memahami tentang penubuhan Malaysia sebagai penyebab perpecahan antara rakyat Malaysia Timur dan Barat.

Ahli G25 dan bekas timbalan pengarah Yayasan Sabah Johan Arriffin Samad berkata ada warganegara yang keliru tentang tarikh kemerdekaan Tanah Melayu sebagai tarikh pembentukan Malaysia.

Walaupun Tanah Melayu mendapat kemerdekaan dari British pada 31 Ogos 1957, Malaysia hanya ditubuhkan pada 16 September 1963.

Oleh itu sejarah Malaysia menjadi tidak berturutan, kata Johan.

“Bagaimana kita mahu bersatu kalau pemahaman sejarah tidak sama? Atau jika kita tidak boleh bersetuju mana satu tarikh yang betul?” katanya pada forum anjuran G25 hari ini.

Meskipun begitu, Hari Malaysia hanya diisytiharkan sebagai hari cuti umum pada 2010, tambahnya.

Johan mengeluh naratif kaum di Malaysia tertumpu pada 3 kumpulan etnik utama di Semenanjung – Melayu, Cina dan India – walaupun terdapat kumpulan etnik lain, seperti Iban dan Kadazan, yang dimasukkan bawah 1 kategori.

“Bagaimana kita mahu bersatu apabila borang ada ruangan ‘dan lain-lain’,” katanya, merujuk kepada kategori yang ditemui dalam borang rasmi kerajaan, di samping kategori kaum Melayu, Cina dan India.

Satu lagi penghalang perpaduan negara ialah kegagalan mengiktiraf Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Johan.

Perjanjian itu menyatakan terma dan syarat di mana Sabah, Sarawak dan Singapura bersetuju untuk bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu pada 1963 untuk menubuhkan Malaysia.

Sekiranya perjanjian itu terus diabaikan, ia boleh menjejaskan integrasi dan kerjasama dalam negara kerana “rakyat Sabah dan Sarawak sudah jemu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.