
Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata demikian sebagai maklum balas terhadap satu laporan organisasi penyelidikan dasar awam, Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, mengenai kesukaran dihadapi pesakit kanser bagi membayar kos perubatan melalui skim insurans tempat kerja wajib.
Beliau berkata, kira-kira RM1.95 bilion dibayar di bawah Skim Pencen Ilat pada 2016 berbanding jumlah kutipan premium RM1.45 bilion.
“Ketika perbelanjaan ke atas kebajikan (ahli) dijangka terus meningkat, kekurangan itu ditampung melalui pendapatan pelaburan kami, sehingga menjejaskan dana ini tetapi mengelakkan kenaikan kadar premium kepada orang dilindungi,” kata Azman kepada FMT dalam kenyataan yang menjelaskan pelbagai skim untuk membantu pesakit menghidap penyakit kronik, termasuk kanser.
Dana di bawah Skim Pencen Ilat itu merangkumi Pencen Ilat, Bantuan Ilat, Kemudahan Pemulihan Jasmani/Vokasional dan Dialisis, Pencen Penakat, Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Pengurusan Mayat dan Faedah Pendidikan.
Jumaat lalu, Pusat Galen dalam satu laporan bertajuk “Saving Lives and Surviving Cancer in Malaysia: Recommendations for Policymakers” menggesa pembaharuan ke atas undang-undang berkaitan Perkeso.
“Pembaharuan undang-undang berkaitan seperti Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 perlu untuk memastikan pesakit kanser boleh menuntut faedah mereka, tanpa mengira tahap kanser mereka yang terus bekerja,” kata Pusat Galen.
Perkeso berkata, walaupun ia komited membantu pekerja terjejas, ia terpaksa menanggung kesannya kerana premium yang dikenakan hanya 1% daripada gaji ahlinya yang dikongsi bersama majikan dan pekerja.
Sementara itu, Azman memberi contoh Perkeso menyediakan kemudahan dialisis kepada lebih 14,000 ahli dilindungi yang menelan belanja RM200 juta setahun.
Ini katanya, boleh dilakukan dengan meningkatkan komitmen sumbangan dan penyelenggaraan dana itu, selain memperluaskan kebajikan ahli.
“Pendekatan itu sejajar prinsip dana keselamatan sosial,” katanya.