MBSB peroleh kelulusan pemegang saham beli AFB

MBSB peroleh kelulusan pemegang saham beli AFB

Malaysian Building Society Bhd akan kekalkan pekerja yang ada ketika ini, kecuali beberapa jawatan di peringkat pengurusan.

Ahmad-Zaini-Othman-mbsb-malaysia
KUALA LUMPUR: Malaysian Building Society Bhd (MBSB) memperoleh kelulusan pemegang sahamnya untuk membeli Asia Finance Bank Bhd (AFB) pada RM644.95 juta bagi membuka peluang kepada institusi kewangan itu menjadi sebuah bank Islam sepenuhnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Ahmad Zaini Othman berkata MBSB menyasarkan untuk menyelesaikan penyepaduan syarikat dan AFB menjelang Mac ini.

“Kami menjangka penyepaduan itu diselesaikan pada Mac dan akan memperkenalkan nama baharu pada April,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung luar biasa MBSB hari ini.

Beliau berkata sebaik sahaja pembelian itu selesai, MBSB akan memindahkan semua aset patuh syariah dan liabilitinya, tidak termasuk pinjaman tidak berbayar, kepada AFB secara berperingkat.

Ahmad Zaini berkata pembelian itu membolehkan MBSB mengakses sumber pendanaan yang sebelum ini tidak tersedia, seperti deposit akaun semasa dan pembiayaan antara bank.

“MBSB juga dapat menawarkan saranan produk dan perkhidmatan perbankan Islam menyeluruh seperti kemudahan perdagangan, khidmat nasihat pelaburan dan produk pengurusan kekayaan, serta memperluaskan perkhidmatan perbankan kami kepada perusahaan kecil dan sederhana,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan mengekalkan pekerja yang ada ketika ini, kecuali beberapa jawatan di peringkat pengurusan.

“Kami tidak melaksanakan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) atau Skim Pemisahan Bersama (MSS). Kami akan melibatkan perunding sumber manusia untuk melihat yang terbaik,” katanya.

MBSB juga akan mengekalkan bahagian pinjaman runcit semasa sebanyak 70% dan 30% bagi pinjaman korporat walaupun adanya tambahan tawaran produk baharu, manakala pertumbuhan pinjaman dijangka pada kira-kira 3% tahun ini seiring dengan purata dicatat industri.

MBSB memeterai perjanjian pembelian saham bersyarat pada November 2017 dengan pemegang saham AFB – Qatar Islamic Bank, Financial Assets Bahrain WLL (FAB), RUSD Investment Bank dan Tadhamon International Islamic Bank – untuk membeli keseluruhan kepentingan ekuiti dalam AFB pada RM644.95 juta.

Pembelian itu akan diselesaikan melalui tunai sebanyak RM396.89 juta dan terbitan saham baharu sebanyak 225.51 juta dalam MBSB pada harga terbitan RM1.10 sesaham.

Langkah itu akan menjadikan AFB anak syarikat milik penuh MBSB, yang kemudiannya akan menjadi bank Islam tunggal ke-2 terbesar Malaysia dengan aset keseluruhan RM47.81 bilion, selepas Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.