
Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad membuat keputusan itu pada prosiding kes yang dihadiri peguam Ezam, Mohd Farez Jinnah dan peguam defendan pertama, Mohd Hafarizam Harun.
Presiden NGO Hisbah Malaysia itu ketika ditemui pemberita berkata mahkamah menolak permohonannya kerana lewat.
“Kami dimaklumkan penolakan itu disebabkan masalah teknikal sebab kita lambat masuk. Kita dapat lambat dari Singapura bukan kita sengaja lambat,” katanya kepada pemberita selepas sesi pengurusan kes hari ini.
Pada 14 April, Ezam menamakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan 15 individu lain dalam saman menuntut mereka memulangkan sekurang-kurangnya AS$3.6 billion (RM14.8 billion) kepada 1MDB.
Dalam penyata tuntutannya, Ezam selaku plaintif mendakwa 1MDB meminjam sejumlah AS$6.5 bilion yang disewajarnya dimasukkan ke akaun 1MDB, namun tindakan melulu para defendan menyebabkan sejumlah AS$3.6 bilion dibayar kepada pihak yang tidak berhak hingga menyebabkan kerugian pada 1MDB.
Najib memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu 12 Julai, diikuti kerajaan, 1MDB dan 13 individu lain pada September.
Ezam sepatutnya memfailkan semua dokumen berkaitan pada 14 April 2017 namun penghakiman dan dokumen dari mahkamah Singapura itu hanya dikeluarkan pada Julai. Bekas senator itu berkata pihaknya akan berbincang dengan peguam untuk merayu keputusan itu.
“Saya merasakan ada kebimbangan di pihak Najib sebab peguam Najib membantah dokumen ini dimasukkan dalam afidavit saya.
“Dokumen itu dari peguam Singapura dalam kes 1MDB di mana telah ada keputusan dan hukuman terhadap mereka dan disebut ‘Jho Low’ salah satu subjek yang penting terlibat,” katanya, merujuk kepada ahli perniagaan Low Taek Jho.
Pada 12 Julai tahun lepas, pendakwa raya di Singapura dilaporkan berkata, Jho Low ialah watak utama dalam siasatan berkaitan 1MDB dan beliau menggunakan wang yang boleh dikesan kepada dana milik kerajaan itu untuk tujuan peribadi.
Selain Najib selaku defendan pertama, turut memfailkan permohonan bagi membatalkan saman ialah 13 bekas anggota Lembaga Pengarah 1MDB iaitu Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah; Datuk Kamal Mohd Ali; Datuk Norazman Ayob; Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin; Tan Sri Ismee Ismail; Tan Sri Ong Gim Huat dan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi selaku defendan ke-2 hingga ke-8.
Selain itu, Ashvin Jethanand Valiram; K. Arul Kanda; Mohd Hazem Abd Rahman @Mohamed; Datuk Mohd Bakke Salleh; Tan Sri Azlan Mohd Zainol; Datuk Tengku Rahimah Puteri Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah sebagai defendan ke-9 hingga ke-14.
Syarikat 1MDB dan kerajaan Malaysia sebagai defendan ke-15 dan ke-16.
Dalam penyata tuntutannya, Ezam berkata antara 2009 dan 2011, 8 pengarah memindahkan AS$1.03 bilion kepada Good Star Limited Sdn Bhd (GSL) untuk digunakan dalam usaha kerjasama dengan PetroSaudi International Ltd (PSI).
Beliau berkata pada 2012, mereka memindahkan AS$1.367 bilion kepada Aabar Investment PJS Ltd, sebuah syarikat yang diperbadankan di Kepulauan Virgin British (Aabar BVI).
Syarikat itu mempunyai nama yang hampir menyerupai Aabar Investment PJS, anak syarikat International Petroleum Investment Company (IPIC), yang perlu dibayar wang itu.
Ezam berkata pada 2013, 7 pengarah membayar AS$1.26 bilion kepada Tanore Finance Corporation (TFC) untuk usaha kerjasama dengan Aabar untuk menubuhkan Abu Dhabi Malaysia Investment Company Ltd (ADMIC).
Akibatnya 1MDB dan kerajaan terjejas dan mengalami kerugiaan.