
Beliau merujuk kepada laporan Asian Correspondent semalam yang melaporkan kisah 2 wartawan wanita yang menceritakan pengalaman diganggu secara seksual daripada ahli politik lelaki yang perlu ditemubual.
Daripada 8 wartawan yang dilaporkan dalam artikel itu, 2 daripada mereka rakyat Malaysia.
Seorang mengatakan seorang ahli politik menghantar mesej lucah dan meraba pahanya semasa sesi temubual. Seorang lagi berkata seorang ahli Parlimen tidak berhenti menghantar mesej bertanyakan kehidupan peribadinya, dan mengajaknya makan malam walaupun sudah berkahwin.
Bimbang akan pengakuan itu, Zuraida berkata mereka yang memegang jawatan kerajaan sepatutnya mewakili rakyat.
“Lelaki yang tidak menjaga kelakuan tidak layak mewakili wanita di kawasan mereka.
“Gangguan seksual perlu dilihat dengan serius, dan lelaki yang berfikir mereka boleh berbuat apa sahaja patut dihukum dengan berat jika didapati bersalah, terutamanya kerana mereka memegang jawatan kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Ahli Parlimen Ampang itu berkata, Akta Kerja (Pindaan) 2012 (Akta A1419) dan Kod Amalan Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual hanya memberikan perlindungan terhad kepada wanita yang berdepan gangguan seksual.
“Kanun Keseksaan yang sedia ada, di bawah Seksyen 509, tidak mencukupi untuk menangani kes gangguan seksual kerana perbuatan itu hanya merujuk kepada ‘mengaibkan kehormatan’ sebagai jenayah yang boleh dihukum penjara sehingga 5 tahun atau denda atau kedua-duanya.
“Sebagai ahli Parlimen, saya akan mencadangkan Rang Undang-undang Gangguan Seksual pada sidang Parlimen yang akan datang dan menggesa supaya ia diluluskan sebagai tindakan.”
Sementara itu, Biro Komunikasi Wanita Amanah Dr Siti Mariah Mahmud berkata kerajaan perlu tegas menjadikan 2018 tahun memperkasa wanita.
“Tiada gunanya kita mendabik dada kerana menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur dan dasar untuk golongan wanita jika perkara serius seperti gangguan seksual seperti ini tidak ditangani segera,” katanya.
Ahli Parlimen Kota Raja malu kerana laporan media antarabangsa itu boleh menjejaskan imej negara.
“Saya juga difahamkan majikan pengamal media yang diganggu itu turut mengetahui perkara tersebut, malangnya, pengamal media itu bukan sahaja tidak dibela, malah majikannya turut bersubahat dengan meminta dia menjadikan gangguan itu sebagai peluang untuk terus mendapatkan skop berita.
“Pendedahan ini bukan sahaja mengejutkan, malah cukup memalukan kerana golongan media yang terkenal sebagai pejuang dan pembela hak asasi manusia termasuklah golongan wanita sanggup memperalatkan kakitangan sendiri demi mengejar berita yang eksklusif.”
Beliau menggesa pengamal media yang pernah mengalami gangguan seksual supaya segera membuat laporan bagi mencegah perkara yang sama tidak berterusan.
“Berdiam diri bukan satu pilihan lagi kerana sikap begini akan menyebabkan penindas akan menjadi lebih berani melakukan perbuatan keji itu terhadap mangsa yang lain.”