Ewein nafi terlibat projek terowong dasar laut

Ewein nafi terlibat projek terowong dasar laut

Ewein Berhad berkata anak syarikatnya hanya memeterai perjanjian usaha sama dengan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd.

ewein-project-tunnel-penang
GEORGE TOWN: Ewein Bhd (Ewein) hari ini menjelaskan bahawa ia serta anak syarikatnya tidak terbabit langsung dalam projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ewein berkata anak syarikatnya, Ewein Land Sdn Bhd, hanya memeterai perjanjian usaha sama dengan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (dikenali Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd sebelum ini).

“Ewein tidak membeli sebarang tanah daripada kerajaan negeri. Tanah itu dimajukan secara bersama dalam transaksi komersial di antara Ewein Land dan Consortium Zenith menerusi syarikat usaha sama Ewein Zenith Sdn Bhd,” katanya.

Ewein menerusi anak syarikatnya, Ewein Zenith II Sdn Bhd memeterai 1 perjanjian bagi pembelian tanah (Lot 713) seluas 1.78 hektar di Bandar Tanjong Pinang bernilai RM162 juta pada 2015.

“Tanah itu dibeli daripada Consortium Zenith dan bukannya kerajaan negeri. Ini merupakan transaksi komersial dan butiran pembelian itu turut dimaklumkan kepada Bursa Malaysia,” katanya.

Menurut syarikat itu, Ewein Zenith II memutuskan untuk membatalkan perjanjian dengan Consortium Zenith BUCG berikutan keluasan tanah yang lebih kecil sebanyak 0.81 hektar. Pembatalan itu turut dimaklumkan kepada Bursa Malaysia.

Ewein menjelaskan, syarikat itu memeterai 1 memorandum perjanjian dengan Consortium Zenith bagi mendapatkan hak pembelian tanah kira-kira 20.2 hektar yang akan ditebus guna di Gurney Drive pada 2016.

“Tanah 20.2 hektar itu adalah sebahagian daripada projek tebus guna oleh sebuah syarikat yang tiada kaitan dengan Ewein atau mana-mana anak syarikatnya,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan tahanan reman 2 pemimpin syarikat bergelar “Datuk” bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung projek pembinaan terowong dasar laut itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.