
Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata sebanyak 113,000 tandatangan peneroka dikumpulkan untuk memorandum itu, kerana sekatan EU ke atas minyak sawit Malaysia akan memberi kesan pada mata pencarian peneroka.
“Tak payah nak saya minum kopi dengan duta besar, nak buat apa? Nak bincang? Esok bincang! Hari ini kita tunjuk perasaan tipu muslihat yang mereka lakukan terhadap sawit. Hari ini kita tunjukkan kita bersatu hati bantah tindakan hipokrasi mereka,” katanya kepada peneroka yang berhimpun di Menara Felda sebelum berarak ke Kedutaan EU yang terletak di Menara Tan & Tan.
Shahrir hadir di tunjuk perasan hari ini bagi memastikan ia berlangsung dengan lancar dan selamat.
Baru-baru ini, satu resolusi tidak terikat diluluskan di Parlimen Eropah mencadangkan EU mempergiatkan sekatan ke atas minyak sawit Malaysia yang didakwa menyebabkan pembasmian hutan.
Malaysia menyumbang lebih 80% pengeluaran minyak sawit dunia bersama-sama Indonesia dan EU merupakan destinasi eksport terbesar Malaysia, menyumbang kira-kira 13% penghantaran minyak dan produk berasaskan sawit pada 2016.
Shahrir berkata sekatan ke atas minyak sawit Malaysia satu bentuk penjajahan ekonomi.
“Bantah kepada penjajah, penjajahan ekonomi! Kita tahu apa yang kita nak, kita tahu siapa kita sebagai rakyat Malaysia yang tatatertib, yang ada peraturan tapi ada maruah untuk pertahankan hak kita,” katanya.

Shahrir mengalu-alukan bantahan oleh peneroka Felda hari ini kerana EU perlu dengar suara para pekebun kecil yang akan terjejas dengan sekatan EU.
“Orang akan cakap ini kerja kerajaan, ini kerja duta, ini kerja MPOB, kerja pengurusan Felda, kenapa nak libatkan peneroka, ini Shahrir nak kuatkan lakonan, menghala pandangan orang ramai dari masalah sebenar.
“Kalau hanya kerajaan yang bantah, ini dikatakan politik. Apa pula suara sebenar dari pekebun kecil yang menanam sawit? Mereka tahu harga sawit bergantung kepada pasaran dan sebenarnya kita tahu keluaran sawit paling efisen, lebih bermutu hasilnya dari minyak soya atau minyak sayuran yang lain,” katanya.
Shahrir berkata dakwaan industri sawit Malaysia tidak mampan dan menyebabkan pembasmian hutan tidak berasas kerana pokok sawit boleh bertahan selama 25 tahun dan 50% tanah di Malaysia masih diliputi hutan.
“Pokok sawit boleh bertahan 25 tahun. Mereka tahu sebenarnya hutan di Malaysia 50% lebih masih di bawah hutan berbanding dengan negara maju atau berbanding dengan 30% pada satu dunia. Mereka tahu tapi mereka gunakan asas nak sabotaj, rosakkan, menyekat, keluaran kita masuk pasaran mereka, sebab itu ia akan menentukan harga sawit.
“Kalau harga sawit turun, yang terkena adalah mereka yang bergantung kepada harga sawit. Bila mereka gunakan taktik sekat kemasukan minyak sawit, kononnya kita nyah hutan di Malaysia kita berhadapan dengan jerebu kerana kebakaran. Jerebu berlaku 2015 tapi 2016, 2017 tak berlaku jerebu.”