NGO PAS: Pulang tanah Felda di Jalan Semarak sandiwara PRU14

NGO PAS: Pulang tanah Felda di Jalan Semarak sandiwara PRU14

Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan mendakwa tindakan itu bertujuan menarik sokongan warga Felda menjelang PRU14 kerana 54 kerusi Parlimen di kawasan Felda ialah deposit selamat Umno-BN.

Roslan-Md-Isa-felda-jalan-semarak
PETALING JAYA: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) memperjuangkan isu peneroka Felda mendakwa tindakan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) mengembalikan tanah di Jalan Semarak kepada Felda tanpa sebarang kos ialah sandiwara Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Roslan Md Isa mengetuai Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi) yang ditubuhkan PAS pada Oktober 2015 berkata, keputusan menyerahkan tanah itu kepada Felda tanpa sebarang kos tidak masuk akal.

Beliau turut mempersolkan tiada tindakan diambil ke atas Tan Sri Isa Samad yang merupakan pengerusi Felda ketika pemindahan hak milik tanah itu berlaku pada 2015.

“Ini semua sandiwara cap ayam. Apa yang berlaku memang dijangkakan, ini memang lakonan yang sangat membosankan kami anak-anak peneroka, umumnya para peneroka juga,” katanya kepada FMT.

Isa dilantik sebagai pengerusi Felda mulai Januari 2011 hingga Januari 2017; pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai Januari 2011 hingga Jun 2017 serta pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada Julai 2013 sehingga Ogos 2017.

Felda dan SPSB menandatangani satu perjanjian persefahaman kira-kira 1 tengah hari tadi untuk mengembalikan hak milik semua 16 lot tanah di Jalan Semarak yang dipindahkan dalam 4 transaksi jual beli pada Disember 2015 dan November 2016, kepada agensi itu tanpa sebarang kos.

Bagaimanapun, Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad dilaporkan berkata, siasatan polis dan audit forensik yang dijalankan sebuah firma audit luar ke atas projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di Jalan Semarak akan diteruskan.

Katanya, laporan polis yang dibuat pada 12 Disember dan 28 Disember lalu di bawah Seksyen 420 serta Seksyen 471 Kanun Keseksaan juga tidak akan ditarik balik.

Mengulas lanjut, Roslan yang juga exco Pemuda PAS mendakwa tindakan mengembalikan tanah Felda itu bertujuan menarik sokongan warga Felda menjelang PRU14.

“Ini semua kerana pilihan raya semakin hampir, kami dah masak dengan taktik Umno dan BN, ini strategi lama. Shahrir Samad ditabal wira dalam kes Felda ini, isu berkaitan Felda hanya boleh selesai jika Umno-BN tumbang.

“Mereka hanya nak undi warga Felda, dahulu 54 kerusi Parlimen adalah ‘fix deposit’ Umno-BN, tapi kini tidak lagi, ini yang membimbangkan mereka dan Datuk Seri Najib Razak.

“Kami tidak akan terpedaya lagi, mereka yang bersalah wajar dan wajib dibawa ke muka pengadilan.”

Presiden Majlis Belia Felda (MBFM), Anuar Manap bagaimanapun menolak dakwaan Generasi kononnya pengembalian tanah kepada Felda itu bermotifkan politik menjelang PRU14.

Sebaliknya, Adun Sekijang itu berkata pengembalian tanah kepada Felda jelas membuktikan agensi itu di bawah pimpinan Shahrir ikhlas menyelesaikan kemelut yang berlaku.

“Saya rasa komitmen Shahrir ini dah pun bermula selepas beliau ambil alih Felda. Tak timbul isu nak PRU atau tidak kerana dah beberapa perkara sebelum ini pun ditangani dengan baik oleh Felda,” katanya ketika dihubungi FMT.

Pada 21 Disember lalu Berita Harian mendedahkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, dianggarkan bernilai RM270 juta, apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.

Tanah itu sedang dimajukan untuk membina Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), sebuah projek bernilai tinggi membabitkan 7 menara.

Menurut akhbar itu, pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan Felda memberikan surat kuasa wakil penuh kepada syarikat itu bagi membangunkan tanah itu.

Tanah itu kemudian didapati dipindah milik kepada syarikat itu sejak Disember 2015, dan satu lot daripada tanah terlibat didapati ditukar nama kepada sebuah syarikat lain yang ada kaitan dengan pemaju utama pada 21 Julai 2016.

Shahrir dilaporkan mengakui berlaku transaksi tanah yang dianggarkan bernilai RM270 juta, tetapi Felda tidak mendapat sesen pun kerana tiada rekod wang dimasukkan atau dibayar dalam transaksi itu.

Akhbar itu melaporkan nilai semasa tanah Felda di Jalan Semarak itu dianggarkan mencecah RM1 bilion, jauh lebih tinggi daripada harga jualan RM270 juta dalam 4 perjanjian jual beli tanah antara Felda dan SPSB.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/01/15/pemaju-synergy-promenade-pulangkan-tanah-di-jalan-semarak-kepada-felda/

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.